PETALING JAYA: Berita pemergian penyanyi popular era 1980an, Rohana Jalil turut dirasai oleh rakan-rakan artis termasuk penyanyi, Azharina Azhar.
Azharina berkata, arwah disifatkan sebagai seorang ibu yang penyayang serta umpama kakak yang prihatin dengan rajin bertanya khabar kepada dirinya.
“Arwah memang berhati mulia, murah senyuman serta suka berjenaka. Akan sentiasa merinduimu Kak Ana.
“Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang beriman dan dilapangkan kuburnya serta dijauhi daripada azab api neraka,” tulis penyanyi lagu Elegi Sepi dalam Facebooknya, hari ini.
Semalam, Rohana disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada pukul 11.33 malam tadi.
Allahyarham dimasukkan ke HCTM sejak April lalu akibat kebocoran usus. Kesihatannya semakin merosot dan berada dalam situasi kritikal serta tidak sedarkan diri sejak tengah hari, semalam.
Penyanyi Rayuanku itu menghembuskan nafas terakhir di sisi suami, Jahangir Khan, anak-anak dan ahli keluarga terdekat.
Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 sebelum waktu Zuhur, hari ini.