MELAKA: Kajian selama kira-kira tiga tahun dan kos dianggarkan RM80,00 diperlukan bagi merealisasikan impian menghasilkan model kapal Mendam Berahi pertama di negara ini.
Pesara, Zainal Abidin Jamaludin, 69, berkata, replika berskala 1:28 kaki itu dibina menggunakan kayu keras serta papan lapis dan mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.
Katanya, dia menjadikan kapal jenis gali milik Portugis, jong jawa dan wangkang dari China sebagai rujukan untuk menghasilkan reka bentuk yang hampir sama.
“Kapal Mendam Berahi mempunyai 100 dayung iaitu 50 dayung di bahagian kiri dan kanan. Kapal yang menjadi kemegahan empayar Kesultanan Melayu Melaka ini setinggi tujuh tingkat dengan kediaman raja terletak di tingkat paling atas.
“Kapal ini sangat hebat kerana dalam Hikayat Hang Tuah ada menceritakan kapal ini telah melanggar 10 kapal Portugis semasa perang 1511 tanpa mengalami kerosakan. Mendam Berahi sangat digeruni pihak musuh ketika itu.
“Bagaimanapun, sehingga ke hari ini tiada siapa yang tahu bentuk dan saiznya yang sebenar. Pengetahuan yang kita ada pada hari ini hanya berdasarkan kajian, teks sejarah dan hikayat terdahulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Zainal Abidin, dia mengambil masa tiga tahun untuk membuat pembacaan dan kajian tentang kapal legenda tersebut sebelum menterjemahkannya menjadi sebuah model yang lengkap.
Menurut bekas Pengarah Muzium Perak itu, replika berkenaan dihasilkan berdasarkan fakta yang sahih kerana masih belum ada contoh model yang sebenar dihasilkan oleh mana-mana pihak.
“Saya membina replika ini kerana rasa tercabar dan terlalu meminati sejarah Mendam Berahi. Kapal ini sangat indah kerana mempunyai unsur-unsur ukiran keMelayuan pada badannya.
“Saya mencadangkan replika kapal ini dijadikan asas reka bentuk model kapal sebenar pada masa akan datang. Saya berharap Jabatan Muzium Malaysia dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan menganjurkan satu seminar kaedah praktikal untuk menghasilkan model sebenar,” ujarnya.-utusan