PETALING JAYA: Pemain profesional golf senior negara, Ricky Yeow muncul juara dalam Kejohanan Jemputan MSPGA siri pertama tahun ini di Kelab Golf Impian Kajang, Selangor, semalam.
Ricky yang bermain cemerlang pada sembilan lubang pertama (1st nine) dengan empat birdie, kemudian gagal mengekalkan rentak cemerlang pada sembilan lubang terakhir (2nd nine) apabila mencatat dua bogey, satu double bogey menamatkan permainan dengan 72 pukulan keseluruhan.
Bagaimanapun, catatan itu sudah cukup untuk menobatkan Ricky selaku juara Kejohanan Jemputan MSPGA dan mengalahkan 29 pemain profesional senior negara yang lain.
Dengan kemenangan itu, Ricky membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,700.
“Saya gembira dengan kemenangan ini. Sudah lama juga saya tidak menang kejohanan. Walaupun bermula baik pada sembilan lubang pertama dengan empat birdie, namun saya melakukan kesilapan dengan catatan dua bogey dan satu double bogey iaitu pada lubang 16 dan lubang 18.
“Saya memang menyasarkan untuk bermain di bawah par 72. Tetapi saya akur dengan keputusan permainan saya hari ini. Saya juga berpuas hati dengan kondisi padang golf yang cukup baik dan green agak laju,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian hadiah di Kelab Golf Impian Kajang, semalam.
Ricky bagaimanapun berterima kasih kepada penganjur yang berjaya mengendalikan Kejohanan Jemputan MSPGA dengan jayanya.
Tempat kedua Kejohanan Jemputan MSPGA kali ini menjadi milik Ahmad Jamil dengan skor 74 pukulan keseluruhan dua di atas par 72.
Manakala tiga pemain berkongsi di kedudukan ketiga iaitu Hamzimie Hamzah, Zailan Wan Cik dan Wan Arizal selepas masing-masing mengumpul 76 pukulan keseluruhan empat di atas par 72.
Dua pemain lagi iaitu Mokhtar M. Amin dan Wan Kamaruzaman terikat pada kedudukan keenam selepas masing-masing merekod catatan 79 pukulan keseluruhan tujuh di atas par 72.
Sementara itu, Presiden Persatuan Profesional Golf Senior Malaysia (MSPGA), Bakhtiar Mohd. Amin bersyukur kerana Kejohanan Jemputan MSPGA yang diadakan buat pertama kali tahun ini berjalan lancar.
Malah, beliau menghargai kerjasama yang diberikan oleh semua peserta yang juga ahli-ahli MSPGA bagi menjayakan kejohanan itu.
“Saya juga ucap terima kasih tidak terhingga kepada Penasihat Kehormat, John Seah Chen Cher yang menaja Kejohanan Jemputan MSPGA termasuk hadiah kepada semua pemenang.
“Kita berharap pada kejohanan-kejohanan akan datang, yang akan diadakan secara terbuka nanti, lebih ramai pemain senior profesional menyertainya,” tambahnya.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat mengenai MSPGA, anda layari website mspga.com.my. – UTUSAN