BALING: Seorang remaja maut setelah tercampak ke dalam semak akibat kemalangan membabitkan motosikalnya dan sebuah kereta di Kampung Dalam Wang, Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari, pada pukul 8.34 pagi ini.
Mangsa, Muhammad Abhar Mansor, 19, beralamat di Kampung Kubang Panjang, Kupang, di sini disahkan meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dalaman badan.
Ketua Polis Daerah, Superitenden Shamsuddin Mamat berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal jenis Yamaha yang ditunggangi mangsa datang dari arah rumahnya menghala ke Kampung Bandar.
“Apabila tiba di tempat kejadian, Perodua Axia dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan mangsa dan melanggar bahagian hadapan motosikal tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam semak di bahu jalan sebelah kiri, manakala motosikal dan kereta tersebut terbabas ke bahu jalan,” katanya di sini, hari ini.
Shamsuddin berkata, pemandu serta penumpang kereta termasuk bayi berusia tujuh bulan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut, sementara mayat mangsa pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim, dekat sini untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN