KOTA KINABALU: Peningkatan pengguna peranti rokok elektronik dalam kalangan remaja yang mencecah 301,109 orang pada tahun lalu memerlukan tindakan segera bagi melahirkan generasi muda yang bebas daripada sebarang bentuk tabiat merokok.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 90,025 orang berbanding 211,094 orang pengguna remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun pada 2017.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, jumlah tersebut belum mengambil kira penggunaan rokok konvensional yang melibatkan kumpulan remaja itu iaitu seramai 186,817 orang pada tahun lalu.
“Data yang dikongsikan ini adalah satu senario nyata yang menuntut keprihatinan dan tindakan secara bersama semua pihak bagi mengekang seterusnya menolak sebarang bentuk tabiat merokok di negara ini.
“Justeru, menyedari tabiat merokok khususnya penggunaan rokok elektronik dan vape yang semakin meningkat, Kementerian Kesihatan (KKM) berusaha membawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 ke Parlimen.
“Kita berharap melalui langkah perundangan yang dilakukan ini melahirkan generasi muda yang bebas daripada sebarang bentuk tabiat merokok dan dikenali sebagai generasi penamat rokok bagi remaja yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya,” katanya dalam teks ucapan sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat kebangsaan, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.
Zaliha berkata, langkah menghentikan tabiat merokok itu perlu bagi memastikan hasrat prevalen tabiat merokok kurang daripada lima peratus dan Malaysia menjadi negara Bebas Asap Rokok menjelang t2040.
Ketika ini, prevalen perokok dalam golongan dewasa merupakan 21.3 peratus daripada populasi penduduk, dengan anggaran 4.8 juta perokok.
Bagi, pengguna rokok elektronik dan vape pula prevalen adalah sebanyak 4.9 peratus atau 1.13 juta pengguna dalam kalangan orang dewasa.
Sementara itu, beliau berkata, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) menerusi laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa 5.1 juta orang mempunyai dua atau tiga faktor risiko utama penyakit kardiovaskular atau jantung yang menjadi penyumbang utama kematian di Malaysia.
Katanya, penyakit tidak berjangkit itu boleh dicegah melalui pembudayaan hidup sihat antaranya dengan tidak mengamalkan tabiat merokok. Dianggarkan lebih 27,200 kematian setiap tahun adalah akibat tabiat merokok. – UTUSAN