Rebel Playlist: Kisah di sebalik lirik lagu Nasir Jani - Utusan Malaysia

Rebel Playlist: Kisah di sebalik lirik lagu Nasir Jani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hidup bagaikan pentas opera
Tirai hidup dibuka
Cerita pun bermula
Oh-oh-oh-oh”
Kalau diteliti semula lirik lagu berjudul Opera Hidup yang dinyanyikan kumpulan Wings ini sangat tepat untuk menggambarkan apa berlaku dalam kehidupan seharian kita.
Dari dulu sampai sekarang lirik lagu ini tidak pernah luput ditelan dek zaman. Malah kalau diamati, setiap satunya mempunyai maksud yang begitu mendalam.
Namun, di sebalik lagu yang pernah menjadi siualan anak muda ini, saya pasti masih ramai tidak mengetahui siapa pencipta liriknya.
Nasir Jani antara individu bertanggungjawab di sebalik lagu dinyanyikan kumpulan Wings ini. Bukan itu sahaja, ada terdapat 44 lagu lain yang pernah mendapat sentuhan pengarah filem Kembara Seniman Jalanan ini.
Nasir sering melekat dalam kepala kita sebagai seorang berjiwa menentang (rebel) sehingga ada menyamakan beliau dengan pengarah filem, Oliver Stone disebab

kan berkarakter batu. Tetapi hakikatnya, sekeras mana pun dia dilihat, terselit dijiwanya ‘kelembutan’.
Buktinya dapat dilihat menerusi buku baharu beliau berjudul Rebel Playlist yang menyingkap kisah di sebalik ‘pembikinan’ lirik lagu Nasir.
Maksud sebenar semua lagu hits dendangan anak muda satu ketika dahulu seperti Cinta Kristal sedikit sebanyak memberi pemahaman kepada kita maksud lagu berkenaan.
Apa yang menarik dalam buku ini adalah hasil tulisan tangan Nasir ketika awal merangka lirik-lirik lagu berkenaan. Ini sekali gus mencetuskan nostalgia kepada pembaca yang membesarkan dengan lagu-lagu ini.
Buku ini juga memuatkan cerita asal ketika proses sesebuah lirik lagu dihasilkan. Paling penting pembaca juga dapat mengetahui kisah bagaimana dan mengapa lirik lagu berkenaan ditulis.
Selain itu, turut dimuatkan dalam buku tersebut adalah sudut pandang Nasir yang menceritakan situasi muzik tanah air bermula tahun 70-an hingga tahun 2000.
Kisah-kisah perjuangan beliau terhadap tuntutan royalti lagu yang dinafikan sejak sekian lama dan tentang kerjayanya yang pernah disekat disebabkan kelantangan memperjuangkan isu cetak rompak juga dimuat dalam buku ini.
Dalam pada itu, Nasir berkata, idea untuk meng­hasilkan buku tersebut terhasil selepas diilhamkan Ketua Penerbitan Rabak-Lit, Izzat Amir.
“Semasa pesta buku tahun lalu, Izzat ada tanya kenapa tidak bapak menulis pasal lirik lagu yang dihasilkan bapak.
“Pada mulanya bapak tidak minat sebab ada banyak lirik lagu yang bapak terlepas pandang. Lagi pun ada lebih kurang 50 lagu sahaja berbanding nama besar lain seperti arwah Bob Lokman yang ada lebih 350 dan arwah JS Kevin yang ada 500.
“Tapi Izzat kata tidak mengapa, sebab ramai yang mahu tahu. Jadi bapak teruskan sahajalah untuk tulis buku ini,” katanya yang menggelarkan dirinya bapak kepada saya.
Kata Nasir lagi, untuk menulis buku itu bukanlah sesuatu yang mudah dan dia berdepan cabaran tersendiri selain semuanya sudah menjadi ketentuan Allah SWT.
“Bapak masih ingat lagi ketika PKP pada tahun 2020. Pada masa itu bapak tidak buat apa-apa dan saja kemas dan buat apa yang patut.
“Ada sekali itu bapak jumpa tulisan tangan lirik-lirik lagu seperti Srikandi Cintaku, Cinta Kristal dan banyak lagi bahan lain. Selepas itu, bapak masukkan dalam satu plastik.Daripada situlah bahan-bahan ini kemudian dikumpul dan akhirnya dapat digunakan untuk penerbitan buku ini,” ujarnya.
Nasir ketika ditanya sama ada buku tersebut akan diterbitkan untuk cetakan kedua berkata, beliau masih belum terfikir untuk berbuat demikian.
“Saya tidak fikir untuk terbitkan sebuah lagi buku yang meyentuh lirik lagu. Bagaimanapun, ia bergantung kepada sambutan.
“Walau apa pun, setakat ini sambutan daripada orang ramai baik dan saya bersyukur dengan buku yang dicetak sebanyak 1,000 naskah,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya