Razarudin luang masa tinjau warga PGA sempena Aidiladha - Utusan Malaysia

Razarudin luang masa tinjau warga PGA sempena Aidiladha

RAZARUDIN Husain mengaminkan doa ketika tiba di MARTAK PGA Sungai Kores, Johor bagi meninjau penugasan warga Batalion 5 PGA Briged Tengah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Ketika seluruh masyarakat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berbesar hati meluangkan masa meninjau penugasan warga Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di Markas Taktikal (MARTAK) PGA Sungai Kores, Johor.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar S. Muthuvelu dengan diiringi Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit.

Beliau kemudian diberi taklimat oleh Pegawai Pemerintah Medan merangkap Ketua Kompeni Alpha Batalion 5 PGA, Asisten Superintenden All Amin Mohamed Zawawi berkaitan keadaan semasa pengoperasian di kawasan tanggungjawab pasukan itu.

Razarudin kemudian dibawa melawat ke Pos PGA Sungai Ayam untuk melihat penugasan anggota di lokasi berkenaan.

Kehadiran beliau bagi memberi semangat moral kepada anggota PGA yang bertugas dan berjauhan dengan keluarga.

Pada tinjauan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sempena sambutan Aidiladha kepada petugas Op Taring Nyah 1, Johor.

Sebelum itu, Razarudin menyaksikan proses ibadah korban dan pengagihan daging korban kepada anggota PGA serta penduduk setempat di Kampung Sungai Kores.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah PGA Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim; Ketua Urus Setia KPN (Antarabangsa), Senior Asisten Komisioner R. Supramaniam dan Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan.

Selain itu, Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Salehin Suleiman dan Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani turut hadir dalam program terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya