Rakyat sedar, KWSP tidak wajar dikeluarkan - Amirudin - Utusan Malaysia

Rakyat sedar, KWSP tidak wajar dikeluarkan – Amirudin

KWSP
AMIRUDIN Shari berucap pada Karnival Jom Heboh Generasi Muda dekat pekarangan Stadium Shah Alam di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didakwa mula memahami simpanan mereka dalam tabungan tersebut tidak wajar dikeluarkan untuk kali keempat.

Ini kerana, isu pengeluaran wang daripada badan berkanun tersebut tidak perlu lagi dijadikan polemik berikutan penerangan secara jelas sudah pun dibuat oleh KWSP.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan pemerhatian dan laporan yang diterimanya, orang ramai kini sedar simpanan KWSP tidak lagi dibenarkan untuk pengeluaran khas.

“Kaunter KWSP paling ramai yang datang bertanyakan tentang pengeluaran simpanan. Ramai yang tanya kenapa tidak boleh dikeluarkan dan sebagainya. Saya dapat lihat banyak yang puas hati dengan penjelasan daripada pihak KWSP,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Jom Heboh Generasi Muda, malam tadi.

Terdahulu, beberapa siri gerakan dilakukan pelbagai pihak termasuk individu, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bagi mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran seterusnya tabungan KWSP bagi menampung peningkatan kos sara hidup.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran simpanan hari persaraan itu sekali lagi walaupun keputusan yang dibuat itu bukan sesuatu yang popular.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR memaklumkan, beliau bersedia menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bermula 7 Jun ini  apabila menerima jemputan rasmi daripada parti itu.

“Insya-Allah jika dijemput saya akan datang ke perhimpunan tersebut. Namun kena tengok juga kesesuaian masa untuk saya hadir,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya