Radius operasi mencari, menyelamat remaja dikhuatiri lemas diperluas - Utusan Malaysia

Radius operasi mencari, menyelamat remaja dikhuatiri lemas diperluas

ANGGOTA pasukan penyelamat sedang melakukan operasi mencari seorang remaja dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Dusun, Hulu Terengganu yang memasuki hari kedua, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Radius operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu di Kampung Dusun dekat sini, semalam diperluas sehingga lima kilometer, hari ini.

Ketua Polis Daerah  Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmerra Hassan berkata, operasi tersebut turut dibantu dua ekor anjing daripada unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, fokus pencarian diteruskan dengan keutamaan diberikan di kawasan tumpuan tempat mangsa, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, dikatakan lemas dan tenggelam semasa kejadian. 

“Bantuan logistik digunakan termasuk sembilan buah bot dari pelbagai agensi dan dibantu orang awam. Keseluruhan seramai 77 petugas dilibatkan dalam usaha mencari serta menyelamat mangsa pada hari ini. 

“Selain pencarian di permukaan air dan tebing sungai dengan jarak lima kilometer dari tempat kejadian, unit selam JBPM juga telah melakukan selaman scuba di lokasi. 

“Setakat ini, mangsa belum dijumpai dan operasi masih diteruskan sehingga kini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini. 

Utusan Online semalam melaporkan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas setelah dibawa arus deras ketika mandi-manda di Sungai Terengganu dekat Kampung Dusun,.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, Muhammad Adam Shazwan dipercayai tiba-tiba hanyut ketika sedang berenang bersama seorang rakannya, Putra Azim Fahmi Azmi,16, di sungai tersebut. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya