Qari OKU penglihatan dari Kelantan johan tilawah al-Quran kebangsaan - Utusan Malaysia

Qari OKU penglihatan dari Kelantan johan tilawah al-Quran kebangsaan

PESERTA OKU penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan Nor Hidayah Abd. Rahman dinobat sebagai johan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444/2023M di Butterworth Arena, Pulau Pinang malam tadi. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Qari golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, dinobat sebagai johan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444/2023M di Butterworth Arena, di sini malam tadi.

Lebih membanggakan, anak sulung daripada enam beradik itu merupakan qari pertama OKU yang berjaya menjadi johan sejak pertandingan berprestij itu berlangsung bermula pada 1947.

Sementara itu, Nor Hidayah Abd. Rahman, 32, dari Terengganu pula dinobatkan sebagai johan tilawah kategori qariah.

Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, selain tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dijangka berlangsung Ogos depan.

Tempat kedua pula dimenangi qari Aiman Ridhwan Ramlan (johan menunggu) dan qariah dari Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar.

Mereka membawa pulang RM15,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.

Tempat ketiga dimenangi qari Mohamad Husaini Mahmur dan qariah Nurul Nadiah Hashim yang kedua-duanya peserta dari Negeri Sembilan.

Peserta dari Johor, Ahmad Ikmal Mohd. Ridhuan diumumkan johan hafiz bagi kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir, manakala peserta Sabah, Dian Karisma Mohd Japar dinobatkan johan hafizah.

Mereka masing-masing membawa pulang RM20,000 dan wang tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji.

Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk berserta tafsir, hafiz dari Terengganu, Muhammad Fakhrurazi Yahaya dinobatkan sebagai johan manakala peserta dari Melaka, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dinobatkan johan hafizah.

Untuk kategori 1 hingga 10 juzuk berserta taranum, hafiz dari Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahim Shari dan Siti Nabilah Zamri dari Melaka dinobatkan sebagai juara.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah MTHQK yang turut menyaksikan Negeri Sembilan muncul sebagai juara keseluruhan.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Program yang berlangsung selama enam hari bermula 11 Jun lalu itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disertai 108 peserta tilawah serta hafazan yang mewakili 14 negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya