PUTRAJAYA: Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menegaskan bahawa pihaknya tidak ada menerima dan meluluskan permohonan persembahan Apology Tour di Live House Kuala Lumpur – Jocelyn Chia dan Chrissie Mayr.
Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu berkata, ia susulan hantaran pemilik akaun Instagram @chrissiemarypod serta tular di laman media sosial mengenai promosi persembahan itu yang dikatakan berlangsung pada 26 Ogos ini di TREC Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan, Puspal memaklumkan, mana-mana kemasukan bagi artis luar negara atau penggambaran filem asing di Malaysia, permohonan perlu dikemukakan kepada agensi itu.
“Ia bagi tujuan penilaian sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan.
“Sebarang hebahan dan promosi serta jualan tiket tidak boleh dilakukan sebelum memperoleh kebenaran penganjuran program daripada pihak berkuasa termasuklah surat kelulusan daripada Puspal,” katanya hari ini.
Maklumat lanjut berkaitan garis panduan persembahan artis luar negara boleh didapati dengan melayari laman web www.kkd.gov.my atau menghubungi Puspal di talian 03-89115355/5384 atau e-mel [email protected].
Media sebelum ini melaporkan, perancangan pelawak kontroversi, Jocelyn dan rakannya Chrissie Mayr yang juga pelawak komedi berdiri dikatakan bakal mementaskan persembahan Apology Tour Live House Kuala Lumpur sekali gus mendapat bantahan dan tentangan ramai.
Selepas mempersendakan rakyat negara ini dalam beberapa hantaran tidak menyenangkan di media sosial, tiba-tiba Chrissie membuat pengumuman itu menerusi satu hantaran di Instagram.
Baru-baru ini, Jocelyn mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia selepas menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan jenakanya satu persembahan di Amerika Syarikat.
Kemudian, Chrissie pula mengeruhkan keadaan apabila menyokong Jocelyn dan menghina netizen Malaysia di media sosial. – UTUSAN