Pusat timbang sawit swasta di Felda Triang dibantah peneroka - Utusan Malaysia

Pusat timbang sawit swasta di Felda Triang dibantah peneroka

MAT JIDI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Peneroka Felda Gugusan Triang membantah pembukaan pusat timbang sawit swasta di tanah rancangan dan ladang di antara Felda Triang 1 dan Felda Triang 2 di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Peneroka Felda Triang 1, Mat Jidi Yaakob mendakwa, pusat timbang sawit swasta itu dipercayai menyasarkan sawit milik peneroka dan ladang Felda di sini.

Ini kerana dakwanya, pemilik pusat timbang tersebut tidak memiliki ladang sawit sendiri sebaliknya hanya menanam buah kelapa.

“Walaupun pusat timbang itu yang lokasinya berhampiran Felda Triang 1 dan Felda Triang 2 adalah milik persendirian, tetapi kita sudah dapat menjangkakan kesan buruk ekoran pembukaannya akan datang.

“Jadi, mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Triang 1 membuat keputusan membantah sekeras-kerasnya kewujudan pusat timbang sawit swasta di kawasan berkenaan.

“Pusat timbang sawit swasta itu yang dijangka beroperasi tidak lama lagi dipercayai akan membeli buah tandan segar (BTS) milik peneroka atau perladangan Felda secara ‘pintu belakang’’,” dakwanya di sini semalam.

Mat Jidi berkata, mereka tidak mahu masalah ketirisan jualan sawit seperti berlaku di wilayah Felda lain berlaku di situ kerana peneroka terpengaruh dengan ‘gula-gula’ tawaran jualan tunai dengan harga lebih tinggi.

Tambah beliau, ketirisan boleh menyebabkan berlaku rantaian­ masalah apabila potongan di peringkat rancangan Felda tidak dapat dibuat seperti hutang individu dan keceriaan kampung.

Oleh itu tegasnya, pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) disaran tidak mengeluarkan lesen membeli sawit kepada pihak berkenaan kerana ia boleh menjejaskan penghantaran BTS ke kilang milik Felda.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Perunding Kilang Sawit Felda Triang 3 menambah, kelulusan membuka pusat timbang sawit swasta di tengah-tengah ladang milik Felda itu juga menjadi tanda tanya warga tanah rancangan di situ.

“Isu ini sudah dilaporkan kepada Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Kemayan, Khaizulnizam Mohd. Zuldin untuk mencari penyelesaian bagi mengelakkan berlaku penyelewengan jualan sawit.

“Peneroka di sini juga sepakat untuk melaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika masalah ini tidak diatasi segera kerana menganggap ada sesuatu yang tidak kena,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya