KANGAR: Dua lelaki warga tempatan dan seorang warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan membabitkan seorang wanita di Pasar Besar Kangar, di sini, semalam direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret, Siti Nor Hasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.
Ketiga-tiga suspek itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar pada pukul 8.50 pagi dengan diiringi anggota polis bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop turut mengesahkan mengenai penahanan reman itu.
Semalam, polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia kerana disyaki menipu seorang suri rumah dengan melarikan barang kemas milik mangsa bernilai sekitar RM19,000 di Pasar Besar Perlis, di sini.
Dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun itu dipercayai dipukau selepas didatangi oleh dua individu lelaki yang tidak dikenali menawarkan kepada pemeriksaan perubatan kepadanya.
Suspek berkenaan kemudiannya meminta mangsa mengikut mereka ke kawasan berdekatan bagi melakukan pemeriksaan kesihatan seperti yang ditawarkan.
Mangsa juga turut bertindak menyerahkan dua utas gelang emas dan cincin bersama sepasang subang emas miliknya kepada suspek.
Selepas itu, dua suspek itu cuba melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga Flex berwarna merah yang dipandu seorang lagi suspek lain namun kejadian itu disedari orang awam dan polis peronda yang berada berhampiran kawasan berkenaan.-UTUSAN