Puasa berselang bantu antipenuaan? - Utusan Malaysia

Puasa berselang bantu antipenuaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUASA berselang adalah corak pemakanan yang berkitar antara tempoh berpuasa dan makan. Ia begitu popular beberapa tahun kebelakangan ini kerana memberi kesan positif kepada kesihatan terutamanya dalam kalangan warga pertengahan umur.
Puasa berselang yang paling biasa diikuti adalah kaedah berpuasa 16:8. Kaedah ini melibatkan tempoh berpuasa selama 16 jam dan mengehadkan tempoh pemakanan kepada 8 jam setiap hari. Lazimnya, individu akan melangkau sarapan pagi dan mula makan sekitar masa tengah hari dan kemudian meneruskan pengambilan makanan dalam tempoh 8 jam pada hari sama.
Kaedah berpuasa 5:2 pula melibatkan pengambilan makanan secara biasa selama lima hari dalam seminggu dan mengehadkan pengambilan sekitar 500 hingga 600 kalori selama dua hari tetapi bukan pada dua hari berturut-turut. Pada hari berpuasa, makanan padat nutrien sahaja akan dipilih untuk memastikan pemakanan mencukupi.
Kaedah puasa ganti hari pula merupakan pendekatan yang mana individu berpuasa pada selang setiap hari. Mereka mengehadkan pengambilan kepada 500 hingga 600 kalori pada hari berpuasa dan makan secara biasa pada hari tidak berpuasa.
Faedah puasa berselang termasuk dalam pengurusan berat badan yang baik. Dengan mengehadkan masa untuk makan atau mengurangkan pengambilan kalori

Prof. Madya Dr. Goon Jo Aan

pada hari puasa, ia boleh membawa kepada pengurangan pengambilan kalori secara keseluruhan dan seterusnya penurunan berat badan. Kajian terhadap kepelbagaian amalan berpuasa mendapati ia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 0.8% hingga 13.0% tanpa memudaratkan kesihatan.
Amalan berpuasa dapat menurunkan berat badan kerana ia dapat meningkatkan kepekaan sel dan tisu badan terhadap hormon insulin yang bermanfaat untuk kawalan gula darah.
Kepekaan insulin yang tinggi membolehkan sel mengambil glukosa dengan cekap daripada aliran darah, yang membawa kepada kawalan gula darah yang lebih baik. Ini amat penting dalam mencegah dan menguruskan penyakit kencing manis yang disebabkan oleh rintangan sel terhadap insulin.
Glukos yang tinggi dalam aliran darah adalah berbahaya kerana ia akan menghasilkan trigliserida iaitu lemak simpanan dalam badan.
Trigliserida yang tinggi boleh menyumbang kepada pengerasan arteri atau penebalan dinding arteri (arteriosklerosis) yang meningkatkan risiko strok, serangan jantung dan penyakit jantung.
Selain itu, kajian lepas melaporkan puasa berselang dapat meningkatkan pemulihan sel. Semasa berpuasa, badan memulakan proses yang dinamakan autofagi, yang mana sesetengah sel akan dimusnahkan supaya komponennya boleh digunakan untuk kemandirian dan fungsi sel lain.
Bagi menggantikan sel yang rosak, badan akan mensintesiskan sel baru. Proses pembaharuan sel ini dipercayai mempunyai kesan anti-penuaan dan pencegahan penyakit seperti kanser. Sel senesen atau sel tua mempunyai kapasiti pemulihan kerosakan dan mutasi gen yang rendah. Justeru, sel-sel ini berpotensi menjadi kanser sekiranya tidak dihapuskan.
Puasa berselang juga boleh mengurangkan keradangan badan. Keradangan adalah satu proses biologi kompleks yang melibatkan pelbagai sel imun, bahan kimia, dan laluan isyarat molekul. Keradangan penting untuk mempertahankan badan daripada patogen, membaiki tisu rosak, dan memulakan proses penyembuhan.
Namun keradangan yang berlarutan tanpa jangkitan yang jelas atau keradangan kronik boleh menyumbang kepada perkembangan pelbagai penyakit termasuk autoimun, penyakit kardiovaskular, diabetes, obesiti, kanser dan neurodegenerasi.
Proses penuaan menyebabkan keradangan kronik dalam badan kerana kemerosotan kawalan sistem imun membawa kepada pembebasan rangsangan keradangan seperti sitokin tanpa dicetus jangkitan penyakit. Ransangan keradangan yang berlebihan menyebabkan kerosakan kepada sel dan fungsi organ yang seterusnya meningkatkan risiko penyakit dalam kalangan warga tua.
Kajian terkini mendapati amalan berpuasa boleh memberi kesan positif kepada kesihatan usus dengan membenarkan sistem penghadaman berehat untuk memudahkan pembaikan lapisan usus dan pemulihan keseimbangan komposisi mikrobiota usus.
Penuaan dikaitkan dengan pengurangan mikroorganisma semula jadi yang bermanfaat dalam usus seperti Coprococcus, Faecalibacterium, dan Lactobacillus. Mikroorganisma ini adalah penting kerana ia menghalang pertumbuhan bakteria patogenik atau penyebab penyakit, mengekalkan integriti usus di samping menguraikan lemak kepada rantaian asid lemak pendek yang mencegah keradangan.
Puasa berselang biasanya dianggap selamat untuk individu sihat, tetapi ia mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Adalah penting untuk memahami keperluan badan sendiri dan berunding dengan penjaga kesihatan profesional sebelum memulakan sebarang rejim berpuasa, terutamanya jika ada masalah kesihatan atau mengambil ubat-ubatan.
Dalam amalan puasa berselang ini, kita mestilah memilih makanan seimbang dan kaya dengan zat seperti daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk memastikan keperluan nutrien badan dipenuhi. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya