PETALING JAYA: Di sebalik kontroversi yang pernah melanda rumah tangganya, pendakwah selebriti, Abu Sufyan mendedahkan dia kini dalam fasa bahagia mengamalkan poligami.
Berjaya menyatukan semula kedua-dua isteri, pemilik nama lengkap Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 29, berkata, dia juga bersyukur kerana mampu menyara kelima-lima anaknya yang berusia antara empat bulan hingga tujuh tahun.
“Saya ada dua isteri sekarang. Isteri pertama sudah lama saya rujuk semula. Isteri pertama, Ain Afini, manakala isteri kedua ialah Hana Azraa.
“Setakat ini, Alhamdulillah. Kedua-dua isteri pun berniaga. Selain bekerja dengan syarikat umrah, saya juga ada buat pekerjaan lain seperti khidmat latihan dan konsultansi seperti program motivasi untuk syarikat korporat dan institusi pendidikan.
“Adapun kenyataan daripada mana-mana pihak, kenyataan yang benar adalah daripada saya sendiri. Sebabnya, segala isu berkaitan cerai, rujuk datang dari saya. Sayalah pelafaznya bukan orang lain,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran pakej umrah mukim 80 hari di TH Hotel Kelana Jaya, di sini, semalam.
Disoal pernah beraya bersama kedua-dua isteri, Abu berkata, dia belum mempunyai kesempatan itu disebabkan kerap berada di tanah suci atas urusan kerja.
“Setakat ini belum ada kesempatan beraya bersama sebab saya bekerja di luar negara, banyak berulang-alik ke tanah suci. Ramadan sampai Syawal di sana.
“Saya kerja di Madinah hampir setahun, dari bulan Muharam sampai Syawal di sana dan akan balik Malaysia tiga bulan sekali,” katanya.
Berkongsi tips poligami, Abu berkata, kesabaran adalah kuncinya lebih-lebih lagi kepada suami yang memimpin bahtera rumah tangga.
“Lelaki tahap kesabarannya perlu tinggi. Sabar, sabar dan sabar. Perkahwinan adalah soal suami dan isteri dalam membentuk keluarga bahagia.
“Selain itu, jangan pernah ambil berat sebarang kenyataan daripada pihak luar. Sebab bila baca akan buat kita melenting dengan tulisan netizen. Saya ini sampai tahap sudah lali dengan kecaman,” kongsinya.
Pada masa sama, Abu berharap sokongan dan doa daripada orang ramai agar rumah tangganya kekal bahagia dan dijauhkan daripada sebarang kontroversi.
“Saya melalui proses yang sangat panjang. Jadi, mahu ambil pendekatan untuk membina keluarga yang lebih baik dan bahagia.
“Saya tak nafikan sebenarnya komen-komen netizen sebelum ini memberikan kesan negatif kepada kehidupan peribadi,” luahnya.
Sebelum ini, nama pendakwah ini hangat diperkatakan apabila bertindak menceraikan isteri pertama menerusi WhatsApp ketika wanita itu sedang sarat hamil anak pertama mereka, demi memilih untuk bernikah dengan seorang janda.
Sebelum diceraikan, Ain mendakwa suaminya pernah meminta untuk setuju berpoligami, namun permintaan itu ditolak disebabkan mereka baru dua bulan bernikah.