Program semarak seni seluruh negara

Program semarak seni seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya baru-baru ini melancarkan program menyemarakkan seni budaya di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi berkata, program bermula 20 Mei lalu turut dijayakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Katanya, bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, program berkenaan berlangsung mulai semalam sehingga esok di Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Bagi melancarkan program tersebut, Hidayatul berkata JKKN WPKL sebagai penganjur Program Menyemarakkan Seni Budaya: LepakSeni@KL bersama Persatuan Mekar Budaya telah berkolaborasi dengan sepuluh pertubuhan seni budaya sekitar ibu negara.

“Program ini bertujuan melahirkan bakat baharu seni budaya melalui bengkel/pertandingan/persembahan.  Selain itu, warga KL akan berpeluang menjana pendapatan daripada aktiviti seni budaya melalui jualan produk seni, tenaga kerja produksi dan perkongsian kepakaran.

“JKKN juga berharap dapat menarik kehadiran pelancong luar mengenali seni budaya Malaysia di lokasi JKKN berdekatan Jalan Petaling dan bangunan auditorium bersejarah berusia 130 tahun yang telah diiktiraf sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, katanya aktiviti menarik sepanjang program itu termasuk Pertandingan Gerobok Kebaya dengan Kerjasama Persatuan Tepak Tellaz, Bengkel Juri Permainan Tradisional (Persatuan Sukan Tradisional Malaysia), Lukisan Karikatur dan Pameran Jualan (Persatuan Seni Persembahan Neotrik, Budaya dan Warisan).

“(Selain itu ada) Bengkel Asas Lakonan Bersama Khairunazwan Rodzy (Pertubuhan Revolution Stage), Seni Silat (Persatuan Silat Cekak Pusaka Hanafi WPKL), Demonstrasi Silamban (Persatuan Seni Silambam Maaveeran Malaysia) dan Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia (Persatuan Teater Malaysia),” katanya.

Pada masa sama, Hidayatul berkata JKKN turut menganjurkan Forum Nostalgia Panggung Drama yang mengupas sejarah, perkembangan dan sumbangan berkaitan kewujudan panggung di kompleks JKKN sekarang dan relevannya kepada perkembangan seni di Kuala Lumpur.

“Ahli panel terdiri daripada tokoh terkemuka teater iaitu pelakon dan pengarah Mior Hashim Manap selaku penggiat lama yang mengetahui dan melihat panggung ini sejak era 1970-an, editor dan wartawan veteran, Ku Seman Ku Hussein yang mengupas daripada sudut berbeza sebagai pengamal media yang aktif melihat perkembangan seni serta pensyarah kanan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, Dr. Marlenny Deenerwan yang mewakili generasi baharu yang menerima manfaat kewujudan panggung ini bermula hujung 1990-an sehingga kini,” katanya.

Katanya, kemuncak persembahan pada malam akhir ialah Malam Genta Seni anjuran bersama Badan Budaya DBP yang akan menampilkan Sasterawan Negara Datuk Rahman Shaari. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN