GUA MUSANG: Program jangkauan luar (outreach) dan Kembara Mesra Rakyat membuka peluang kepada lebih 1,000 penduduk Orang Asli dari suku kaum Temiar di Pos Simpor dan Pos Gob di sini untuk mendaftar sijil kelahiran anak-anak dan MyKad.
Penduduk Orang Asli Pos Simpor, Amat Angah, 52, berkata, program itu sangat dinantikan oleh penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.
Menurutnya, dia sangat berterima kasih kepada Jabatan Pendaftaran negara (JPN) yang sudi datang ke kampung mereka yang terletak lebih 100 kilometer di Pos Simpor bagi membantu membuat pendaftaran kelahiran dan MyKad.
“Program seperti ini dinantikan oleh penduduk Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman untuk ke kawasan bandar.
“Saya sendiri mendaftarkan sijil kelahiran seorang cucu yang berusia dua tahun kerana anak saya bersalin di rumah,” katanya.
Bagi Amin Along, 58, pula, program itu banyak memberi manfaat kepada penduduk di dua pos penempatan terbabit.
“Kami penduduk Orang Asli di pedalaman sukar untuk keluar ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPN kerana jaraknya sangat jauh. Adakala kami perlu bermalam di bandar Gua Musang dan sudah pasti melibatkan kos yang tinggi.
“Saya harap program seperti ini akan diteruskan pada masa depan supaya tiada masyarakat Orang Asli yang tercicir untuk memiliki MyKad dan sijil kelahiran jika bersalin di rumah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang SLI (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, program itu memberi manfaat kepada penduduk suku kaum Temiar di Pos Simpor dan Pos Gob.
Program tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk bertemu mata dengan agensi dan mendapat khidmat nasihat atau perkhidmatan secara terus.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana dapat membantu masyarakat Orang Asli di pedalaman yang sukar untuk keluar bertemu jabatan kerajaan,” katanya.-UTUSAN