BAGAN SERAI: UMNO Bahagian Bagan Serai akan membantu kempen parti kerajaan di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen Padang Terap, Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.
Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, UMNO Bagan Serai telah mempersiapkan jenteranya daripada semua aspek bagi membantu kempen parti kerajaan di DUN Kuala Nerang dan Dun Pedu di bawah Parlimen Padang Terap pada PRN di negeri berjiran itu nanti.
“Kita akan bekerja bersungguh-sungguh di kawasan yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan UMNO bagi memastikan kemenangan kepada calon yang bertanding di situ.
“Kemenangan amat perlu bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat menguasai dan menerajui negeri Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jemaah Pengarah Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Zamri Yaakob.
Menurut Sham, mengikut jadual awal yang diterima, UMNO Bagan Serai akan melakukan gerak kerja di kawasan Parlimen Padang Terap.
“Arahan jadual awal menyatakan begitu, namun jika berlaku sebarang perubahan, ia akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Pada PRU-15, kedua-dua DUN itu dimenangi oleh calon Pas, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria (DUN Kuala Nerang) dan Mohd. Radzi Md. Amin (DUN Pedu). – UTUSAN