SABAK BERNAM: Perikatan Nasional (PN) bakal mempertaruhkan lebih ramai calon nama besar yang berpotensi memberi kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, senarai nama calon itu akan diumumkan pihaknya dalam tempoh terdekat sementara pembahagian kerusi pada PRN di negeri ini juga hampir dimukdamadkan.
“Hanya tinggal satu atau dua kerusi yang kita rasa mahu mencari calon lebih layak untuk ditentukan.
“Insya-Allah kita kali ini akan umumkan nama-nama besar (sebagai calon) di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas majlis Dialog PN Parlimen Sungai Besar, Sungai Besar dan Sabak Bernam di Markas Pas Simpang Lima, malam tadi.
Jelas beliau, pihaknya turut akan mengumumkan calon poster boy sebagai Menteri Besar Selangor dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, kata Hamzah, PN merancang penganjuran majlis khas bersama bekas pemimpin UMNO termasuk dalam kalangan tokoh terkenal di semua peringkat atas prinsip penyatuan umat Melayu.
“Saya berjumpa dengan (bekas) tokoh UMNO seperti Tan Sri Noh Omar, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa lagi tokoh pemimpin lain. Kita sedang menyusun tarikh dan lokasi sesuai bagi menganjurkan program besar-besaran tersebut,” ujarnya.
Ditanya mengenai kesediaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin jika kedua-dua pihak mencapai matlamat sama, beliau berkata, pihaknya amat mengalukan perkara itu.
“Alhamdulilah kita terima semua pemimpin sama ada daripada Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air ) dan bekas UMNO. Semua itu adalah sesuatu yang kita impikan supaya orang sedar PN menjadi alternatif kepada perjuangan asal Melayu,” katanya. – UTUSAN