BUTTERWORTH: Sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang percaya hubungan yang terjalin antara dua parti utama itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi kini semakin meyakinkan.
Ketua Pemuda PH negeri, Lee Wei Seang berkata, ‘titik’ persamaan yang dicari dalam membentuk kerjasama dua hala itu juga kian terserlah ketika ini.
Beliau berkata, secara dasarnya, mereka bersetuju menggerakkan jentera secara bersama di seluruh kawasan parlimen di Pulau Pinang pada PRN selain menubuhkan pasukan latihan untuk ejen mengira undi (PACA) secara bersama.
“Kerjasama kami bukan sahaja berkaitan aktiviti menjelang pilihan raya, malah turut melibatkan peluang kerjasama dalam aktiviti serta program lain yang boleh dimanfaatkan terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika Majlis ‘Hi-Tea’ Pemuda Perpaduan Pulau Pinang yang julung kalinya diadakan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pemuda BN negeri, Mohd. Hilmi Elias; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Muhammad Fadzli Roslan; Ketua Pemuda Amanah negeri, Khairul Ali serta dua lagi Ketua Pemuda yang mewakili MCA dan MIC iaitu Chan Wooi Jin dan M. Sethubathi.
Selain menggesa para pengundi khususnya generasi muda untuk pulang mengundi pada PRN nanti, gabungan sayap pemuda PH-BN itu juga sepakat menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk terus memimpin Pulau Pinang bagi penggal kedua selepas pilihan raya berkenaan.
Mengulas lanjut, Wei Seang memberitahu, sehingga kini, Pemuda Perpaduan telah menyantuni sehingga 70 peratus golongan pengundi muda di seluruh Pulau Pinang.
“Kami akan buat lebih banyak ‘touch point’ (program titik sentuhan) selepas ini termasuk dengan penuntut universiti,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Hilmi berkata, mereka menyedari Perikatan Nasional (PN) kini banyak menggunakan media sosial terutama TikTok sebagai platform untuk berkempen sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kami tak nafikan perkara itu, mereka guna TikTok untuk membentuk persepsi. Tapi, kami juga akan guna strategi yang tersendiri. Cuma, tidak boleh dinyatakan buat masa ini,” katanya. – UTUSAN