PRN: Rundingan agihan kerusi PN di Pulau Pinang 95 peratus selesai - Utusan Malaysia

PRN: Rundingan agihan kerusi PN di Pulau Pinang 95 peratus selesai

OH Tong Keong (tengah) yang diumumkan kekal sebagai Pengerusi Gerakan Pulau Pinang bersama pimpinan Gerakan Pulau Pinang selepas selesai sesi penamaan calon bagi pemilihan Parti Gerakan di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Rundingan pengagihan kerusi antara Parti Gerakan dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang telah selesai 95 peratus.

Timbalan Presiden yang juga Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, terdapat beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi pertindihan antara parti-parti komponen di negeri ini dan beliau menjangkakan perkara tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Terdapat beberapa kerusi yang berlaku pertindihan kerana ada permintaan daripada rakan-rakan parti komponen, ada kerusi yang Pas minta, ada yang Bersatu minta, namun kita jangka perkara ini dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu, Parti Gerakan menjalankan hari penamaan calon bagi pemilihan Parti Gerakan Rakyat Pulau Pinang.

Dalam pemilihan berkenaan, Tong Keong diumumkan kekal sebagai Pengerusi Gerakan Pulau Pinang.

Menurut Tong Keong, parti Gerakan Pulau Pinang juga akan mengetengahkan 70 peratus calon muka baharu sebagai calon parti itu mewakili Parti Gerakan pada PRN nanti.

“Kita akan bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, kita akan tampilkan calon-calon muka baharu, mereka adalah calon ‘fresh’ di mana mereka tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

”Mereka juga terdiri daripada pelbagai peringkat umur, profesion dan pelbagai kaum,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, calon-calon yang akan bertanding itu juga akan menjalani sesi temuduga bersama Jawatankuasa Pusat pada minggu depan bagi memastikan calon itu terdiri daripada mereka yang terbaik dan mampu menang pada PRN nanti.

”Calon-calon PN termasuk dari Gerakan akan berdepan dengan kekangan dana pada PRN kali ini memandangkan berlaku pembekuan akaun parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

”Jadi, calon-calon yang akan bertanding perlu bersedia menerima pelbagai cabaran dalam PRN kali ini dan disebabkan itu mereka perlu menjalani temuduga dengan Jawatankuasa Pusat bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya