ALOR SETAR: Polis Kedah mengingatkan semua pihak sentiasa berhati-hati supaya tidak melampaui batas terutamanya melibatkan aspek ‘3R’ iaitu agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) dalam usaha memenangi hati rakyat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sebarang perhimpunan juga perlu dimaklumkan kepada pihak polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, bagi memastikan aktiviti dijalankan tidak menyalahi undang-undang.
Katanya, kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan keamanan sedia ada sentiasa terpelihara apatah lagi pilihan raya tidak seharusnya sehingga memecah belahkan masyarakat yang sepatutnya sentiasa bersatu padu dalam membina kemakmuran buat negeri serta negara.
“Saya ingin mengingatkan bahawa polis kini telah menubuhkan Pasukan Siasatan Khas 3R sejak Mac lalu bagi menangani isu berkaitan agama, raja dan kaum. Jadi kalau ada pihak yang menyentuh perkara ini dan didokumenkan termasuk dalam bentuk video, jangan dipolemikkan perkara itu apabila polis buka kertas siasatan.
“Begitu juga dengan perhimpunan yang semakin rancak diadakan kebelakangan ini. Perlu pastikan ada permohonan dibuat kepada polis agar kami dapat sama-sama membantu mengawal keadaan di lokasi tersebut.
“Kita sayang semua orang tanpa mengira perbezaan fahaman politik namun janganlah ada mana-mana pihak ambil langkah menggusarkan satu sama lain. Janganlah sampai ada percakapan mahupun perbuatan yang melarat menjadi sentimen negatif, ketika kita berada dalam negara sama dan memiliki tanggungjawab untuk memelihara keamanan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah di Dataran Kawad IPK Kedah di sini, hari ini.
Perhimpunan itu kali pertama disertai beliau setelah melapor diri sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu pada 6 Jun lalu bagi menggantikan Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang berpindah ke Bukit Aman.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Kedah memiliki 20 lokasi yang dikenal pasti sebagai antara 190 ‘kawasan panas’ membabitkan enam negeri yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi.
Mengulas mengenai trend konvoi besar-besaran yang turut popular dalam kalangan parti-parti politik bagi menarik penyertaan anak muda, Fisol berkata, penganjur perlu memastikan semua penunggang mematuhi undang-undang termasuk memiliki cukai jalan dan lesen sah.
“Kita faham masing-masing akan cuba menunjukkan kekuatan menjelang PRN ini tetapi kalau perkara itu diselaraskan dengan baik, saya fikir tak ada masalah. Perlu ada keprihatinan terhadap pengguna jalan raya lain dan jangan fikir tentang diri mahu pun parti sendiri semata-mata.
“Jangan semata-mata kerana mahu menunjukkan ramai orang bersama mereka, maka disertakan sekali mereka yang tidak ada lesen serta cukai jalan. Perlu pastikan pergerakan kumpulan itu dikawal dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini akibat kecuaian penganjur, maka polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya. –UTUSAN