PRN: Permohonan undi pos dibuka mulai 15 Jun

PRN: Permohonan undi pos dibuka mulai 15 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Permohonan undi pos untuk semua negeri terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibuka mulai 15 Jun ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia berikutan tarikh jangka hayat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan berakhir tidak lama lagi.

Kata beliau, permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, anggota/pegawai SPR dan petugas media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar Negara) dan Kategori 1C (agensi/organisasi), hendaklah dibuat secara dalam talian (online) di pautan https://myspr.spr.gov.my.

“Walau bagaimanapun, bagi anggota polis dan tentera di bawah Kategori 1A, kaedah permohonan undi pos dikekalkan secara manual menggunakan Borang 1A yang boleh dimuat turun dari portal https://www.spr.gov.my mulai tarikh sama.

“Borang 1A ini hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya pemohon mengundi selepas mendapat perakuan oleh ketua jabatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan undi pos.

Sehubungan itu, katanya, SPR menggalakkan mereka untuk membuat pendaftaran akaun MySPR di pautan https://myspr.spr.gov.my lebih awal bagi membolehkan mereka segera memohon apabila tempoh permohonan undi pos dibuka kelak.

Kata beliau, langkah itu bagi mengelakkan sebarang masalah sekiranya pendaftaran akaun mySPR ini dibuat pada saat-saat akhir.

“Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A ialah pada tiga hari sebelum Hari Penamaan Calon; Kategori 1B: tiga hari selepas Mesyuarat Khas; dan Kategori 1C: enam hari selepas Mesyuarat Khas.

“Tarikh Mesyuarat Khas Urusan PRN Ke-15 bagi penetapan tarikh-tarikh penting termasuk tarikh tutup permohonan undi pos dalam dan luar negara akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata, untuk penghantaran kertas undi pos kepada Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara, SPR menyeru kepada mereka yang terlibat untuk menghubungi SPR bagi menyemak alamat luar negara yang disimpan dalam rekod SPR.

Ini termasuk mengemas kini alamat tersebut sekiranya sudah berpindah atau kembali ke Malaysia.

“PTH Luar Negara berkenaan boleh menghubungi talian 03-8892 7218 atau e-mel ke [email protected] selewat-lewatnya pada 23 Jun 2023 (Jumaat),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya