BUKIT MERTAJAM: Pendekatan agresif Perikatan Nasional (PN) dalam berkempen di media-media sosial ketika ini seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, PH yang kini membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) juga perlu lebih agresif untuk memenangi hati rakyat melalui medium sama.
“Ini antara ‘bahaya’ yang terpaksa kita hadapi sekarang iaitu kehadiran PN yang sangat ‘besar’ dan menonjol dalam media sosial.
“Begitu sukar sebenarnya untuk menangkis fitnah-fitnah yang sedang menular dalam TikTok dan sebagainya.
“Jadi, kita ingatkan juga kepada pimpinan dan semua anggota (parti) kita supaya berwaspada. (Ini) termasuk pengundi kerana kita tidak mahu undian itu (nanti) dibuat bukan kerana fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, Bukit Mertajam yang turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang berkata, meskipun PH agak ‘terlewat’ dalam berkempen di media sosial seperti Tiktok, namun, semua anggota dan pemimpin parti perlu terus bekerja keras.
Katanya, ia bagi memastikan ‘keberadaan’ jentera parti itu di platform berkenaan ‘disedari’ demi memenangi semula hati rakyat khususnya pengundi muda.
“Pada masa sama, kita kena ingat keputusan pengundi kita tidak beralih (pada Pilihan Raya Umum yang lalu). Yang beralih ialah para pengundi parti komponen lain (dalam PH) termasuk pengundi 18 tahun ke atas atau ‘first time voters’ (pengundi kali pertama).
“Jadi, kerana itu, fokus kita ialah untuk memenangi hati pengundi muda, ‘first time voters’ untuk (membolehkan mereka) mengenali apa dan siapa sebenarnya dalam PH dan kerajaan perpaduan.
“Ya, kita kena (masih perlu) berjaga-jaga. Pada saya, dari segi peratusan, Alhamdulillah, sokongan datang dan ada. Tapi, saya lebih suka ia bersifat seperti biar kita kerja keras dulu. Tak boleh ambil mudah,” ujarnya. – UTUSAN