ALOR SETAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah merupakan peluang terbaik rakyat negeri ini mengenepikan kepimpinan yang hanya tahu bercakap, bersikap samseng dan suka mencari gaduh serta tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat secara tuntas.
Oleh itu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, berdasarkan jalinan perpaduan erat, keikhlasan, kesefahaman serta keharmonian di peringkat kepimpinan dan akar umbi, beliau yakin rakyat Kedah bersifat rasional untuk menyedari kesungguhan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) pada PRN kali ini.
Malah kataya, kerajaan negeri ketika ini hanya mampu meneruskan dasar serta usaha yang digagaskan kerajaan sebelum ini melalui penjenamaan semula serta menuntut kredit tanpa mengemukakan idea sendiri.
“Dalam PRN kali ini, rakyat berpeluang memilih kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan dan mampu membawa pembangunan serta pelaburan kembali ke Kedah.
“Pada hemat saya, apalah gunanya Kedah hanya mempunyai kerajaan negeri yang hanya bijak ‘sembang deraih’, samseng dan suka mencari gaduh sedangkan banyak masalah rakyat tidak dapat diselesaikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, BN dan PH Kedah kini sudah bersiap sedia menggerakkan jentera bagi menghadapi PRN setelah mereka sepakat untuk memuktamadkan pembahagian kerusi dengan baik.
Katanya, adalah sesuatu yang penting untuk fokus diberikan terhadap kerjasama kedua-dua jentera bagi memastikan kelancaran gerak kerja selain mengenepikan soal remeh-temeh untuk gabungan itu kembali menerajui negeri.
“Rundingan bahagi kerusi berjalan baik namun jangan ada pihak yang berunding mempunyai niat tersembunyi. Rundingan dengan sebuah parti sebelum ini pernah gagal kerana pihak terlibat terlalu sarat dengan agenda jahat, muslihat licik dan ingin memusnahkan UMNO dalam diam.
“Sesuatu yang sangat penting untuk dinilai adalah tanggapan yang bakal ditonjolkan kepada rakyat terhadap agenda besar Kerajaan Perpaduan. Kita perlu memberi imej ikhlas dan adil melalui pembahagian kerusi kali ini,” katanya. –UTUSAN