PRN: Khairuddin sah tidak bertanding  - Utusan Malaysia

PRN: Khairuddin sah tidak bertanding 

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, pengesahan tersebut juga menepis khabar angin kononnya beliau sebagai calon Menteri Besar Terengganu sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN nanti.

“Walaupun ada disebarkan dalam akhbar tentang bakal MB (Menteri Besar), perkara itu tidak berbangkit kerana saya  tidak berhasrat ingin bertanding dalam PRN yang terdekat ini.

“Sebaliknya fokus utama saya adalah untuk membantu kemenangan BN dan UMNO di Terengganu serta negeri-negeri yang lain.

“Ini adalah pilihan politik (tidak mahu bertanding) dan biasa bagi orang politik, mahu partinya menang dalam pilihan raya,” katanya dalam satu klip video di Tik Tok malam tadi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohd. Khairuddin yang mewakili Pas berjaya mengekalkan kemenangan di Kuala Nerus setelah memperoleh 37,974 undi dengan majoriti 8,447 undi menewaskan calon BN, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang mendapat 29,527 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Abdullah Muhammad (4,604 undi).

Bagaimanapun,  pada PRU15, beliau  bertanding mewakili BN di kerusi Parlimen Kuala Nerus namun tewas kepada calon Pas, Datuk Dr. Alias Razak.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu  mengumumkan berhenti menjadi ahli Pas pada Mac lalu.

Baru-baru ini,  Mohd. Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu disebut-sebut  akan bertanding mewakili BN pada PRN Terengganu dan menjadi calon Menteri Besar.

Dua lagi nama bekas jemaah menteri yang dikatakan akan bertanding ialah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Parlimen Kemaman) dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (Parlimen Hulu Terengganu).

Bagaimanapun, setakat ini, Ahmad Shabery sudah mengesahkan beliau tidak akan bertanding. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya