GEORGE TOWN: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang berada pada tahap terbaik untuk menghadapi parti lawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) walaupun terdapat dakwaan gabungan politik itu tidak mesra antara satu sama lain.
Bagaimanapun, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau mengakui terdapat percanggahan kepentingan yang perlu diuruskan antara PH dan BN sehingga kesemua pihak mencapai permuafakatan dan persefahaman
”Ini satu permulaan (kerjasama PH-BN), ada percanggahan kepentingan yang perlu diuruskan.
“Ia sehingga (semua pihak) mencapai satu permuafakatan, persefahaman yang lebih erat dan faham falsafah serta matlamat tujuan parti-parti politik yang bergabung itu. Ia memerlukan masa juga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri menghadiri majlis pecah tanah projek penyediaan semula dan konservasi parit kubu (Moat) di tapak Kota Cornwallis.
Kon Yeow mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyebut hubungan antara PH dan BN dilihat tidak mesra antara satu sama lain walaupun berada dalam satu gabungan politik.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sebelum ini kerjasama antara DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga pernah amat mesra.
”Kerjasama kami dan Bersatu pun satu ketika amat mesra sehingga ada orang yang tidak mahu mesra kepada kami,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, PN juga boleh berterusan meramal berapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimenangi mereka pada PRN negeri itu kelak.
”Mereka boleh teruskan meramal, kami akan teruskan dengan kerja keras,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau yang mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP bukan anak jati negeri itu, Kon Yeow berkata, perkara tersebut merupakan hak rakyat negeri itu untuk memilih pemimpin mereka.
”Mereka tidak puas hati orang Pulau Pinang pilih kami. Ini semua hak pengundi Pulau Pinang untuk mengundi mereka yang dirasakan sesuai sekali untuk memimpin negeri ini.
”Kita sudah memerintah Pulau Pinang tiga penggal dengan Ketua Menteri bukan anak Pulau Pinang, sudah tiga penggal keputusan dibuat dan mereka patut hormati pemilihan pengundi,” katanya. – UTUSAN