PRN: Kekangan kewangan tidak halang Pas menang - Utusan Malaysia

PRN: Kekangan kewangan tidak halang Pas menang

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kekangan kewangan yang dihadapi negeri-negeri ditadbir Pas ketika ini tidak akan menghalang parti itu untuk melakar kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gelombang hijau kebangkitan rakyat tidak akan kendur sebaliknya bertambah kuat dan akan diterjemahkan di peti undi dalam PRN akan datang.

“Prestasi (pentadbiran) yang disampaikan oleh kerajaan negeri yang kita perintah ini (Kelantan Terengganu dan Kedah) sangat menarik walaupun dalam keadaan yang banyak masalah.

“Terutamanya melibatkan masalah kewangan yang dinafikan. Perkara sebegini kita dah pernah alami selama bertahun-tahun sebelum ini.

“Tetapi tak mengapa, rakyat memahami permasalahan ini (kekangan kewangan) dan kita lihat gelombang kebangkitan itu berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu apabila rakyat menolak parti lain dan menyokong kita (PN).

“Gelombang ini masih ada dan kuat sehingga hari ini khususnya dalam kalangan pengundi muda,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.

Persidangan bertemakan ‘Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global’ itu menghimpunkan para sarjana, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu- isu kritikal berkaitan peranan Islam dalam masyarakat majmuk kontemporari, politik dan kesatuan ummah, serta meneroka penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi oleh umat Islam.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, selain dapat mengekalkan kemenangan di tiga negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) ketika ini, beliau yakin akan ada perubahan sokongan lebih positif di negeri lain termasuk Selangor.

Ketika ini, suhu politik Malaysia semakin panas dengan PRN yang bakal diadakan di enam negeri­ iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

PRN itu dijangka berlangsung serentak walaupun tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di keenam-enam negeri tersebut adalah berbeza.

PRN diadakan selepas negeri-negeri berkenaan memutuskan untuk menangguhkan pembubaran DUN negeri masing-masing pada PRU15 pada November tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya