ALOR SETAR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan bertanding tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, rundingan kerusi sudah selesai namun pengumuman terperinci mengenai kerusi mana yang akan ditandingi akan dilakukan pada 22 Jun ini.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan kerjasama antara setiap parti komponen di Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Kedah di sini.
Sementara itu, Dominic berkata, individu yang akan dipilih sebagai calon Gerakan perlu fasih berbahasa Melayu seperti yang disyaratkan parti untuk memastikan mereka yang terpilih dapat benar-benar mengangkat dan membela isu rakyat di DUN sekiranya menang dalam PRN.
Katanya, kriteria berkenaan akan menjadi antara syarat utama untuk dinilai selain faktor boleh menang (winnable) seseorang calon di sesebuah DUN yang terdapat dalam enam negeri tersebut.
“Pertamanya kita minta Badan Perhubungan Negeri Gerakan hantar senarai nama individu yang layak dijadikan calon. Kemudian nama-nama itu dinilai sebuah jawatankuasa bebas yang membuat beberapa siri laporan mengenai kelayakan serta potensi kemenangan individu itu.
“Secara keseluruhannya terdapat kira-kira 50 calon yang dinilai oleh jawatankuasa tersebut setelah nama mereka dihantar badan perhubungan negeri. Antara syarat penting yang dinilai adalah fasih bahasa Melayu kerana kita tak mahu mereka tak boleh bela nasib rakyat di DUN selepas diangkat sebagai ‘Yang Berhormat’.
“Itu syarat yang sangat penting untuk jadi wakil rakyat dan jika tak boleh patuhi syarat ini, jangan jadi calon. Bagi orang lain yang ada kemahiran tersebut serta mereka yang bergelar ‘winnable candidate’ untuk bertanding,” katanya.
Sementara itu katanya, calon-calon yang mewakili Gerakan dalam PRN kelak perlu menanggung sendiri kos diperlukan termasuk berkaitan kempen memandangkan sumber kewangan parti yang terhad ketika ini.
Pada masa sama katanya, parti itu akan turut membantu mendapatkan dana daripada luar untuk membantu calon termasuk melalui bantuan orang ramai.
“Seperti kelmarin sewaktu Konvensyen PN di Pulau Pinang, kita memang minta ahli-ahli PN memberi bantuan dari segi kewangan kepada kami. Pada masa sama, kami juga meminta dana daripada orang ramai semasa mengadakan ceramah.
“Saya berharap dengan cara ini, kita dapat meringankan tanggungan calon apabila bertanding dalam PRN akan datang,” katanya. –UTUSAN