GEORGE TOWN: Ahli-ahli DAP, para penyokong dan barisan pengundi parti itu diminta tidak mempercayai sebarang edaran senarai calon parti tersebut bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang bukan dari sumber sahih terutama yang diviralkan menerusi media sosial.
Menurut Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow, ini kerana edaran senarai calon parti yang tular tersebut adalah palsu memandangkan hanya Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang boleh mengumumkan senarai calon akhir.
Mengulas lanjut, jelas beliau, DAP Pulau Pinang juga sudah selesai mejalankan sesi temuduga bersama-sama barisan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu.
Katanya, panel pemilihan calon yang terdiri daripada lima individu selesai menjalankan proses berkaitan semalam.
Menurut Kon Yeow, selain beliau, ahli-ahli panel berkaitan terdiri Timbalan Pengerusi DAP negeri, Dr. P. Ramasamy; dua Naib Pengerusi iaitu Jagdeep Singh Deo serta Zairil Khir Johari dan Setiausaha negeri, Lim Hui Ying.
“Lanjutan itu, barisan panel akan mengadakan pertemuan segera untuk berbincang dan membuat keputusan mengenai calon-calon yang berpotensi bagi mewakili DAP serta Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Pulau Pinang akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, senarai itu kemudiannya akan dikemukakan kepada CEC DAP untuk dipertimbangkan dan diputuskan. – UTUSAN