ARAU: Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi disifatkan sangat penting kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam meneruskan survival parti yang menjadi tonggak orang Melayu itu.
Selain itu, PRN tersebut juga cukup penting bagi mengukur sejauh mana sokongan dan penerimaan rakyat sama ada masih menerima atau sebaliknya kerjasama parti tersebut di dalam kerajaan Perpaduan.
Justeru, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Abdul Azim Abdullah berkata, UMNO akan terus berusaha lebih keras bagi memastikan kemenangan atau sekurang-kurangnya menguasai di kebanyakkan kerusi khususnya di negeri-negeri yang diketuai parti itu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Katanya, UMNO yang sudah terlalu banyak berjasa kepada rakyat perlu kembali menjadi menjadi parti tonggak orang Melayu.
“Jadi kita harus terus bekerja keras kembali menjuarai hati rakyat melalui kerja-kerja yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Insya-Allah rakyat akan kembali bersama kita.
“Disebabkan itu, PRN tidak lama lagi saya lihat sangat penting kepada UMNO untuk kembali mendapat sokongan rakyat khususnya orang Melayu,” katanya.
Tambah Abdul Azim, disebalik berada sebahagian daripada kerajaan ketika ini, namun parti perlu membuktikan dengan kemenangan di dalam PRN akan datang.
Katanya, sebarang keputusan tidak memihak kepada parti di dalam PRN sudah tentunya bakal memberi impak yang negatif.
“Kita kena ambil langkah sangat serius dan terus berusaha lebih keras untuk pastikan kemenangan. Insya-Allah kita berpeluang melakar kemenangan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Azim berkata, seluruh pemimpin di semua peringkat perlu mengukuhkan barisan bagi memasuki gelanggang PRN yang disifatkan cukup sengit.-UTUSAN