PRN: BN bakal tanding lebih dua kerusi di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: BN bakal tanding lebih dua kerusi di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) ketika merasmikan Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi Pulau Pinang (Penang SEED) 2023-2028 di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) bakal bertanding lebih dua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang walaupun parti itu hanya menang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Chow Kon Yeow enggan mendedahkan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi BN sebaliknya menyerahkan keputusan mengenai perkara tersebut kepada pimpinan PH Pusat.

”Di peringkat negeri kita tidak cadang untuk adakan perbincangan lagi. Kita mengikut prinsip penyandang, jadi mereka (BN) ada dua kerusi (DUN).

”Tetapi ada ruang-ruang di mana kerusi (DUN) yang sebelum ini dimenangi oleh pihak lain (Pas, Bersatu), jadi ada ruang untuk agihkan kerusi sedemikian,” katanya.

Kon Yeow berkata demikian selepas merasmikan Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi Pulau Pinang (Penang SEED) 2023-2028 di sini hari ini.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU14, PH yang ketika itu bergabung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memenangi 37 kerusi.

BN menang dua kerusi iaitu kerusi DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu DUN Penaga.

Menurut Kon Yeow, mesyuarat berhubung agihan kerusi di enam negeri yang bakal diadakan PRN itu masih lagi berterusan di peringkat pimpinan PH Pusat.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, pelancaran Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi Pulau Pinang (Penang SEED) 2023-2028 itu bertujuan meletakkan semula ekonomi negeri bagi mencapai momentum pertumbuhan yang lebih besar dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Di bawah Penang SEED, Pulau Pinang menjangkakan mengekalkan pertumbuhan semasa negeri sebanyak 3.5 peratus setiap tahun dari 2023 hingga 2028.

“Dalam keadaan yang paling baik, Pulau Pinang menjangkakan mencapai pertumbuhan tahunan sehingga 5.8 peratus dan menarik lebih RM10 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan,” katanya.

Tambahnya, Penang SEED turut menyasarkan untuk mencapai kemakmuran yang dinamik, saksama dan inklusif untuk semua rakyat Pulau Pinang sejajar dengan tema Penang2030 iaitu menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya