KLANG: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Beliau yang menaiki kenderaan rasmi tiba di pekarangan istana itu, kira-kira pukul 5 petang tadi sebelum ketibaan baginda kira-kira 26 minit kemudian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati Amirudin lengkap berbaju Melayu dan diiringi pegawai-pegawainya ketika memasuki ruang istana yang dijaga ketat anggota polis susulan kehadiran pemberita dan jurugambar sejak pukul 4 petang tadi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Amirudin dijangka menghadap Sultan Selangor bagi tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)vbagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum baginda menunaikan haji.
Difahamkan, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin akan berangkat menunaikan rukun Islam kelima itu pada minggu depan.
Minggu lalu, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor menafikan dakwaan bahawa DUN Selangor akan dibubarkan pada 19 Jun ini dan ia sebenarnya tarikh lengkap lima tahun beliau mengangkat sumpah sebagai menteri besar.
Sebelum ini, tarikh pembubaran DUN bagi PRN di tiga negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan diumumkan masing-masing pada 22, 28 dan 30 Jun ini. – UTUSAN