KUALA SELANGOR: Parti Amanah Negara (Amanah) bersiap siaga mempertahankan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang disandang parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengarah Strateginya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah sebenar kerusi bakal ditandingi parti itu akan diumumkan kepimpinan tertinggi dalam tempoh terdekat.
“Namun, semua sudah boleh jangka dan kerusi penyandang kita (Amanah) juga ada lapan. Itu satu teka teki menarik dan biar kepimpinan atasan membuat keputusan.
“Kita memang ada perbincangan dan bersedia menghadapi PRN kali ini,” katanya ketika ditemui pada program serahan bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada seorang mangsa kemalangan di Kampung Parit Mahang, hari ini.
Jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, Amanah sudah semestinya mahu memenangi lapan kerusi DUN tersebut walaupun mengakui bakal menghadapi persaingan sengit dengan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.
“Kita kalau bersaing sememangnya mahu menang dan bukannya untuk kalah. Namun, kita tunggu sahaja pengumuman dan jawapan (pembahagian kerusi) itu nanti.
“Mereka sudah diketahui menggunakan medium media sosial untuk berkempen dalam pilihan raya sebelum ini. Namun, kita mahu kempen secara sihat dan tidak merobeknya dengan isu perkauman. Biar sengit tapi politik sihat,” ujarnya.
Tambah beliau, rakyat diyakini terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Selangor yang gigih berkhidmat terutama dalam isu pekerjaan, kesihatan dan ekonomi sejak beberapa penggal lalu. – UTUSAN