KLANG: Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor dengan mempertahankan kesemua lapan kerusi yang dimenangi parti itu di negeri ini pada Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau mengesahkan perkara tersebut, namun berharap memperoleh kerusi tambahan menerusi penentuan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) nanti.
“Saya tidak pasti berapa kerusi tambahan yang akan kita (Amanah) dapat, hal ini akan ditentukan oleh majlis presiden kelak. Tetapi saya harap Amanah dapat tambahan kerusi lagi,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-11 89 Arena Sdn. Bhd. di Jalan Sungai Jati, di sini, hari ini.
Pada PRU14, Amanah berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor iaitu Taman Templer, Hulu Kelang, Pandah Indah, Sungai Ramal, Seri Serdang, Morib, Meru dan Sabak.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memaklumkan bekalan makanan seperti ayam dan daging menjelang Hari Raya Aidiladha dijamin mencukupi.
“Sekiranya ada kenaikan harga bahan makanan tertentu, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan Pertubuhan Peladang akan masuk campur supaya harga bahan ini dapat dikawal. Kita pernah buat pada Ramadan lalu apabila kita berjaya kawal harga daging daripada naik,” ujarnya. – UTUSAN