PRN: Agihan kerusi PH-BN di P. Pinang 95 peratus selesai - Utusan Malaysia

PRN: Agihan kerusi PH-BN di P. Pinang 95 peratus selesai

CHOW Kon Yeow (tengah) beramah-mesra dengan kanak-kanak yang menyertai program Interactive Edutainment di Hospital Gleneagles di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Proses pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sudah 95 peratus selesai.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, terdapat beberapa perkara berkaitan kerusi penyandang yang masih memerlukan perincian sebelum dimuktamadkan.

”Agihan kerusi 95 peratus selesai, esok saya percaya kali ketiga dan kali terakhir kita bermesyuarat di Kuala Lumpur (berkaitan agihan kerusi), jika masih tidak ada keputusan mungkin perlu serah kepada pimpinan Pusat.

”(Sebanyak) 95 peratus ini dalam satu dua kerusi, dalam rundingan memang begini seperti dalam perniagaan satu dua sen penting juga,” katanya selepas menghadiri program Interactive Edutainment di Hospital Gleneagles, di sini hari ini.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada pilihan raya umum 2018, PH memenangi 37 kerusi termasuk kerusi-kerusi DUN daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi, Penaga.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, agihan kerusi itu tidak dapat diselesaikan sepenuhnya kerana terdapat pertindihan permintaan daripada parti-parti komponen lain.

“Kita di bawah prinsip penyandang, ada pertindihan kepada kerusi (DUN) kerana ada tuntutan-tuntutan terhadap kerusi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mungkin dibubarkan dalam tempoh 10 hari terakhir pada bulan ini.

”Sebenarnya kita tidak ada masalah sebab memang sudah sampai ke akhir penggal dan seperti dijanjikan ia (bubar DUN) akan berlaku penghujung Jun.

”Mungkin 10 hari terakhir (bubar DUN), tarikh tidak ada lagi, jika Majlis Presiden boleh buat keputusan kita akan ikut,” katanya.

Tambahnya, beliau juga berharap dapat mengumumkan tarikh pembubaran DUN Pulau Pinang selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang terakhir.

“Mesyuarat terakhir akan menentukan tarikh pembubaran, kita ada dua hingga tiga mesyuarat (MMK) lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya