PRF Northport kendali sisa sehingga 1,200 tan setahun - Utusan Malaysia

PRF Northport kendali sisa sehingga 1,200 tan setahun

PRF
AZMAN Shah Mohd Yusof (tengah) bergambar bersama Nazar Abdul Raof (empat, kanan) pada sambutan Hari Alam Sekitar Dunia dan Hari Terbuka PRF Northport, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor, hari ini.- UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penggunaan perkhidmatan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF) di Northport, Pelabuhan Klang, di sini, mengalami peningkatan dalam pengendalian sisa buangan daripada 111 tan metrik pada 2020 kepada 1,200 pada tahun lalu.

Jumlah tersebut diperoleh PRF Northport yang mula beroperasi pada Februari 2020 itu menerima lima hingga enam buah kapal berlabuh setiap bulan dan diuruskan oleh Alam Flora Environmental Solutions (AFES).

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, perkhidmatan PRF di Northport adalah yang pertama di negara ini sekaligus mewujudkan pilihan kepada syarikat-syarikat perkapalan selain bergantung kepada pelabuhan Singapura.

“Di rantau Asia Tenggara, Malaysia dan Singapura ada PRF, negara lain saya tak pasti, tetapi selalunya dekat rantau ini Malaysia adalah nombor dua. Dengan kemudahan itu kita berikan mereka (syarikat perkapalan) pilihan yang wujud di sini.

“Yang pastinya apa kita cuba buat adalah saling melengkapi dan boleh wujudkan perkhidmatan umpama one-stop shop, you datang sini boleh aktiviti biasa di pelabuhan dalam masa sama boleh buang sisa dari kapal, nilai tambahnya di situ,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Hari Terbuka PRF sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi AFES, Nazar Abdul Raof dalam ucapannya memaklumkan pembinaan PRF di atas tanah seluas kira-kira 0.6 hektar di Northport menelan belanja sehingga RM7 juta.

Menurutnya, kemudahan itu mula dibina pada September 2019 dan mula beroperasi pada tiga tahun lalu selepas AFES melawat negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Belanda, Jerman, Belgium, Turkey, Portugal dan Perancis yang sebahagiannya pelabuhannya sudah pun wujud PRF lebih 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, Azman Shah memaklumkan kemudahan PRF di Northport menyediakan pengurusan sisa berjadual dan tidak berjadual dengan mematuhi Konvensyen Antarabangsa untuk Pencegahan Pencemaran dari Kapal (Marpol) yang diterima pakai di Pertubuhan Maritim Malaysia (IMO) pada 1973.

“Selaras dengan keperluan Marpol, pelabuhan antarabangsa perlu menyediakan kemudahan penerimaan untuk mengumpul sisa, campuran berminyak dan sampah yang dijana dari kapal. Bahan tercemar yang terhasil oleh kapal seperti enap cempar tidak boleh dibuang terus ke laut bagi mengelakkan pencemaran marin,” jelasnya.

Katanya lagi, antara usaha lain Northport terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar selaras dengan amalan matlamat kelestarian pembangunan (SDG), Northport dan AFES bekerjasama sejak 2018 dengan melaksanakan kempen Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula (3R).

“Northport melalui pengumpulan barangan kitar semula berjaya mengumpul 194 tan barangan kitar semula dan meraih RM67,877 yang digunakan untuk membiayai inisiatif Alam Sekitar, Pentadbiran dan Sosial (ESG) Northport,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya