Politeknik Sultan Salahuddin Shah cipta alat bantu mengajar

Politeknik Sultan Salahuddin Shah cipta alat bantu mengajar, pemainan braille

politeknik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berjaya menghasilkan alat bantu mengajar (ABM) Panduan Fardu Ain dan permainan Sozler Braille bagi kegunaan kanak-kanak dan pelajar kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Produk yang dipercayai pertama kali dihasilkan itu dibangunkan oleh sekumpulan pensyarah dan pelajar PSA dengan kerjasama Persatuan Orang – Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1).

Menurut Pengarah PSA Dr. Norhayati Zakaria, idea untuk menghasilkan produk tersebut tercetus apabila menyedari ABM dan permainan bagi golongan berkenaan sangat terhad khususnya berkaitan Pendidikan Islam.

“Ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami melalui projek inovasi dan kolaborasi bersama industri untuk kegunaan komuniti di samping turut memartabatkan Pendidikan Islam serta tulisan jawi dalam kalangan OKU penglihatan.

“PSA akan memperluas fungsi alat ini dan menambah baik mengikut kesesuaian pada masa akan datang. Semoga alat yang dihasilkan ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak, pihak sekolah serta ibu bapa,” ujarnya yang ditemui selepas Majlis Penyerahan Braille Panduan Fardu Ain dan Sozler Braille kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) di sini hari ini.

Turut hadir Guru Besar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) Rozi Hassan; Pengerusi Operasi PERTIS Zamzuri Ghani, Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Dr.  Ahmad Aftas Azman dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA Mohd Mubarak Shamsuddin.

Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1), Ahmad Bustamam Mohd Ali berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan inisitif yang diambil khususnya dalam membantu pembelajaran para pelajar OKU penglihatan.

“Alat ini sangat bagus dan sangat dinanti-nantikan sebab sukar untuk dapat. Jika adapun sangat mahal kerana kebanyakkannya dihasilkan di luar negara. Untuk Pendidikan Islam ini adalah pertama kali kita jumpa.

“Bila PSA datang bersama PERTIS saya sangat terharu. Di Malaysia jarang nak jumpa produk CSR untuk OKU buta. Sebenarnya banyak lagi dalam dunia OKU yang kita perlukan. Kebanyakkan orang buat kerana bisnes tetapi PSA buat kerana CSR untuk bantu OKU,” ujar Ahmad Bustamam.

Sementara itu, Zamzuri Ghani berkata, pihaknya menyambut baik produk yang dihasilkan dan akan terus memberi sokongan serta berharap produk tersebut dapat diperluas dan dikembangkan untuk kegunaan pelbagai peringkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya