Polis rampas 11 bungkusan ganja mampat bernilai RM RM34,100 - Utusan Malaysia

Polis rampas 11 bungkusan ganja mampat bernilai RM RM34,100

KETULAN mampat yang dipercayai mengandungi ganja ditemui dalam guni menerusi rondaan yang dilakukan polis di sebuah ladang berhampiran kawasan Chuping, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis berjaya merampas 11 bungkusan ketulan mampat disyaki ganja menerusi rondaan yang dilakukan di sebuah ladang getah sekitar Chuping, di sini, semalam.

Dalam rondaan pada pukul 2.30 pagi itu, pasukan polis telah mengenalpasti sebuah motosikal ditunggang oleh seorang lelaki yang berhenti berhampiran pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di sekitar kawasan ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, lelaki itu yang menyedari kehadiran anggota polis bagaimanapun telah bertindak melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan menemui satu guni berwarna putih di mana dalamnya terdapat 11 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dengan seberat 11 kilogram.

“Nilai rampasan dadah berkenaan adalah dianggarkan berjumlah RM34,100,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shokri berkata, hasil siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai cuba diseludup keluar dari negara jiran dengan menggunakan laluan tikus yang terdapat sekitar kawasan ladang tersebut.

Beliau berkata, keadaan lokasi berkenaan juga adalah gelap di mana ia dipenuhi dengan semak-samun dan lalang yang tinggi.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan menerusi rampasan dadah berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, Mohd. Shokri berkata, kes berkenaan disiasat di bawah pindaan Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebat.

Tambah beliau, mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah boleh dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

“Polis IPD Padang Besar akan terus kekal memberi fokus bagi memastikan keselamatan dan kententeraman awam kekal terpelihara,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya