KANGAR: Seorang warga emas terpedaya dengan dua lelaki yang kononnya boleh membuat pemeriksaan perubatan sehingga dia menyerahkan barang kemas bernilai RM19,000 dalam kejadian di pasar besar di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa, Noraini Senawi, 51, dikatakan telah didatangi dua individu yang tidak dikenali tersebut dan dan secara tiba-tiba bertanyakan mengenai keadaan kesihatannya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, suspek terbabit juga meminta pengadu untuk mengikut mereka ke kawasan berdekatan bagi melakukan pemeriksaan kesihatan tersebut.
“Suspek itu, kemudiannya meminta mangsa menyerahkan dua utas gelang emas, dua bentuk cincin bersama subang emas dan wanita itu turut menyerahkan barangan berkenaan kepada lelaki terbabit.
“Mereka juga menukarkan barang tersebut kepada beberapa duit syiling dan pelapik skru ke dalam sampul lalu diserahkan semula kepada mangsa,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, dua suspek di mana salah seorang daripadanya warga Indonesia kemudian cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton yang dipandu oleh seorang lelaki lain.
Katanya, orang awam dan polis yang menyedari kejadian itu, bagaimanapun berjaya mengejar kenderaan suspek dan ketiga-tiga mereka telah ditahan polis bagi siasatan lanjut.
“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memperdaya mangsa dalam urusan pemeriksaan kesihatan sehingga menyebabkan mereka menyerahkan beberapa barang kemas.
“Dalam kejadian ini, wanita terbabit mengalami kerugian barangan kemas berkenaan yang dianggarkan bernilai RM19,000,” katanya.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, antara barangan yang dirampas menerusi penahanan tiga suspek berkenaan adalah membabitkan dua gelang, dua benguk cincin, sepasang subang dan loket.
Tambahnya, semua suspek juga telah ditahan remah bermula hari ini dan siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-UTUSAN