Polis buru lelaki tular pukul gelandangan dengan pemukul besbol - Utusan Malaysia

Polis buru lelaki tular pukul gelandangan dengan pemukul besbol

Pukul gelandangan
TANGKAP layar video kejadian pukul seorang gelandangan dekat bawah jambatan berhampiran sebuah pasar raya di Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis memburu individu yang tular memukul lelaki dipercayai gelandangan dengan besi pemukul besbol di sekitar kawasan bawah jambatan dan sebuah pasar raya di Pelabuhan Klang, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya mengesan dua video memaparkan empat lelaki disyaki warga tempatan menaiki sebuah kereta dan memukul mangsa hari ini.

Katanya, polis turut menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 43 tahun berkaitan klip video sama, pukul 12.02 tengah malam tadi.

“Kita setakat ini sedang berusaha mencari mangsa itu bagi mengetahui kejadian sebenar. Selain itu, polis masih mempergiatkan usaha mengesan suspek terlibat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, kertas siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan beberapa individu menaiki kereta bertindak memukul lelaki yang berada di tepi jalan dipercayai gelandangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya