KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan senarai 10 ‘panglima perang’ yang disisihkan UMNO dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam program bersesuaian yang sudah diaturkan.
“Insya-Allah kita tengah buat perancangan dan akan umumkan dalam waktu terdekat untuk kita sesuaikan dengan program yang sudah kita aturkan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Antara nama yang disebut-sebut dalam senarai 10 ‘panglima perang’ sebelum ini adalah bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar serta bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dikatakan bakal menyertai PN.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan Khairy sama ada beliau akan bertanding mewakili PN pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini, Hamzah hanya sekadar tersenyum sebagai respon daripada soalan yang dilontarkan petugas media.
Beliau menjelaskan yang perkara itu diserahkan kepada Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukannya. – UTUSAN