PM arah segerakan projek berkepentingan rakyat

PM arah segerakan projek berkepentingan rakyat

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan warga JPM pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga JPM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk meneliti mana-mana projek yang diluluskan sebelum ini sama ada ia masih belum dilaksanakan atau sudah dimulakan terutama melibatkan projek-projek kecil berkepentingan rakyat setempat.

Beliau menegaskan, ketua-ketua jabatan perlu melihat perkara itu pada minggu ini untuk mencari punca projek-projek berkenaan tertangguh atas alasan peruntukan tidak sampai atau ada antaranya sudah ditugaskan ke jabatan lain.

Kata Anwar, beliau sendiri akan turun berjumpa dengan semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan di bawah termasuk penyaluran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-Kasih supaya ia turut disegerakan.

“Saya ada bincang dengan Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi mengenai projek sekolah daif, klinik daif atau baiki tandas sekolah, ia tidak perlu dibebankan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ada tanggungjawab lebih besar, ia boleh dipindahkan ke jabatan atau pejabat daerah.

“Projek besar itu penting seperti tebatan banjir, lebuh raya, tetapi projek-projek seperti tandas sekolah, parit tepi rumah, pagar masjid runtuh, semua itu bagi penduduk sangat penting termasuk penyaluran banturan STR dan e-Kasih itu saya bagi arahan disegerakan,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Jun, di sini hari ini.

Anwar berkata, peranan jentera kerajaan di peringkat bawah sangat penting supaya hal-hal berkaitan masalah rakyat di lapangan dapat disampaikan ke peringkat kementerian untuk tindakan segera diambil.

“Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof terima rungutan masih ada masalah mengenai bekalan gula dan minyak masak di Baling. Hal-hal seperti itu kadang-kadang maklumat kita dapat di peringkat tinggi tak sama di bawah.

“Apabila disampaikan begitu oleh TPM maknanya harus ada jentera kerajaan di bawah disampaikan kepada kementerian berkenaan supaya hal ini ditangani dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya