KUALA TERENGGANU : PKR Terengganu diingatkan ‘ukur baju di badan sendiri’ sebelum meminta jumlah kerusi yang banyak untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Said berkata, PKR perlu melihat kekuatan yang dimiliki di negeri ini berdasarkan aspek kekuatan jentera, jumlah penyokong dan ahli di peringkat akar umbi sebelum meminta kerusi pada PRN itu.
Menururnya, PKR seharusnya menerima hakikat pertarungan sebenar pada PRN di Terengganu melibatkan antara Pas dan UMNO sahaja.
Katanya, parti itu wajar berlapang dada dengan keputusan agihan kerusi yang telah dicadangkan UMNO Terengganu kepada pimpinan tertinggi di peringkat Pusat, baru-baru ini.
“Bagi pihak kita, agihan kerusi tu dah selesailah. Biar pucuk pimpinan yang putuskan sebab keputusan itu ada justifikasi tersendiri.
“Dia (PKR) pun kena ‘ukur baju di badan sendiri’ iaitu berapa kekuatan dia, berapa cawangan dia ada, berapa ramai ahli dia. Macam UMNO di Kuala Terengganu sahaja, kita ada lebih 20 cawangan tapi dia berapa cawangan yang ada.
“Jangan nak ‘glamour’ sahaja, saya kata kita nak menang. Jawatan lain banyak lagi (kalau tak terpilih calon), boleh dilantik senator atau di mana-mana GLC (syarikat berkaitan kerajaan negeri).
“Nak cakap banyak takut pihak sana (PKR) terasa hati, tapi itu lah hakikatnya kena terima, pertarungan sebenar memang antara Pas dan UMNO sahaja (kalau di Terengganu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku ‘Wanita Desa Ke Global’ di Taman Tamadun Islam hari ini.
Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, pihaknya yakin boleh menang di beberapa kerusi yang telah dikenal pasti di Terengganu.
Nik Nazmi berkata, keyakinan itu adalah kerana PKR mempunyai beberapa kelebihan antaranya menjadi parti pilihan di kawasan urban yang diduduki banyak pengundi profesional dan berpendidikan tinggi seperti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar. – UTUSAN