SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pelan pemulihan anak syarikat kerajaan negeri itu.
PKNS turut mengguna pakai kemudahan penangguhan pembayaran premium kepada kerajaan negeri dalam memastikan penjualan perumahan tertangguh dan pembinaan perbandaran baharu bagi menambah baik aliran tunai syarikat tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PKNS kembali kepada landasannya selepas mencatat keuntungan jualan sehingga RM200 juta pada 2022 berbanding kerugian dialami RM600 juta bagi tempoh 2020 dan 2021.
“Kita pernah catat kerugian dan perkara itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri, ketika itu pada 2021 dan saya terangkan bagaimana ia berlaku, bukanlah kerugian hakiki tetapi disebabkan proses susut nilai.
“Alhamdulillah kita mengatur semula akaun, menyusun gerakan dan program promosi jualan sehingga dapat mengurangkan daripada RM1.6 atau RM1.7 bilion aset atau unit tidak boleh dijual kepada RM200 ke RM300 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PKNS 2023.
Beliau yang juga Pengerusi PKNS berkata, kerajaan negeri membenarkan syarikat itu mendapat kemudahan pembayaran premium berdasarkan projek dan merancang membuat ketetapan dasar dengan melihat rasional kepada perancangan pembangunan.
Jelasnya, selain itu, PKNS turut dilantik mengetuai pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023. – UTUSAN