KAJANG: Pakatan Harapan (PH) mempertahan sasaran majoriti dua pertiga kerusi di Selangor yang akan dicapai hasil kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) sekali gus terus mengekalkan kuasanya di negeri ini untuk empat penggal berturut-turut.
Keyakinan itu disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Katanya, beliau tidak menyasarkan untuk meraih sehingga 50 kerusi namun sasaran dua pertiga dianggap tidak mustahil kerana wujudnya kerjasama dengan BN.
“Ia (sasaran) realistik, saya tak cakap sasaran saya 50 kerusi tapi sasaran saya adalah dua pertiga, itu yang realistik dilaksanakan. Akan tetapi, jika semua undi PH dan BN diraih, 50 kerusi itu doable dan reachable.
“Ada kata ia tak mungkin berlaku, tapi ia boleh berlaku dan ada juga yang tidak yakin, jadi ini masa kita yakinkan kedua-dua akar umbi BN dan PH untuk bekerjasama bergabung membentuk super coalition yang menjamin kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Bandar Tun Hussein Onn bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, beliau juga yakin akar umbi antara PH dan BN dapat bekerjasama dengan baik meskipun mereka bermusuhan sebelum ini.
“Kita yakin mereka dapat terima, kita yakin dapat boleh buat, Pas dan UMNO dulu pun bergaduh ‘bagai nak rak’ akhirnya bergabung jadi Muafakat Nasional, terpisah ada pula yang kekal sampai tak nak keluar macam Tan Sri Noh Omar.
“Jadi, politik ini sangat dinamik dan masing-masing harus berfikir untuk kebaikan dan maslahat perjuangan jadi kalau bagi PH, kita mahu menjamin kestabilan bagi Kerajaan Pusat dapat meneruskan usaha pemulihan negara dan ini masanya untuk pemulihan yang besar melibatkan semua pihak, itu difahami majoriti rakyat,” katanya.
Setakat ini katanya, tinggal beberapa isu masih belum diselesaikan antara PH dan BN iaitu kerusi manakala calon akan ditentukan kemudian.
“Dah hampir selesai maknanya yang tidak selesai itu tinggal Perdana Menteri selesaikan dengan Timbalan Perdana Menteri, jadi berbaki satu ke dua kerusi sahaja.
“Kerusi belum selesai, calon pun belum selesai, biasanya ambil masa, tapi sebahagian calon sudah dikumpul sejak sekian lama malah Pilihan Raya Umum lalu kita dah ada senarai calon.
“Ada penyandang kekal ada tidak kekal, ada orang baharu masuk, ada orang baharu tak dapat masuk,” katanya.
Amirudin juga terbuka dengan penyertaan Parti Muda dalam PRN kali ini tetapi menyerahkan keputusan tersebut kepada Majlis Presiden PH.
“Majlis Presiden PH kena putuskan, saya akan patuh atas kefahaman PRU lalu jadi terpulang kepada kepimpinan PH bagi menetapkannya dan kita akan bantu sebaik mungkin.
“Kita sedia pertahan Selangor daripada PN dan pihak-pihak lawan lain, harapnya dalam beberapa bulan akan datang kita akan dapat pertahan Selangor. Kita sedia dengan perancangan dan strategi untuk menang hati rakyat dan undi kita balik,” katanya. – UTUSAN