Pesawah persoal kualiti benih padi - Utusan Malaysia

Pesawah persoal kualiti benih padi

ABDUL Rashid Yob (dua dari kanan) bersama petani dan anggota NGO Pesawah menunjukkan benih padi yang didakwa tidak berkualiti di Kampung Megat Dewa, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pertubuhan Per­saudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendakwa kualiti sebahagian benih padi yang dibekalkan kepada pesawah di negara ini berada pada tahap mengecewakan dan langsung tidak bercambah apabila direndam dalam air.

Exco pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Abdul Rashid Yob berkata, ia bukanlah sesuatu yang baharu namun gagal diselesaikan agensi-agensi kerajaan terlibat sejak sekian lama.

Menurutnya, Pesawah ba­nyak menerima aduan daripada petani di Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan berkaitan hal itu dengan pemerhatian mendapati, sebahagian benih yang dijual merupakan benih lama berusia lebih tiga bulan daripada tarikh diproses.

“Berlaku juga kejadian di mana benih dibekalkan masih baharu namun turut tidak bercambah apabila direndam. Masalah ini sudah kami bangkitkan sejak empat tahun lalu tetapi masih terus berulang.

“Kami yakin masalah ini timbul kerana syarikat pengeluar benih padi dilindungi sistem pelesenan dan kuota bekalan benih padi. Setiap musim mereka dapat untung jutaan ringgit daripada subsidi diberikan kerajaan terus kepada syarikat terlibat.

“Ini bermakna sama ada benih dihasilkan berkualiti atau tidak, merek tetap akan dapat tuntut subsidi. Ditambah kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan pihak bertanggungjawab, kea­daan itu seakan-akan tiada berkesudahan,” katanya di Kampung Me­gat Dewa di sini semalam.

Justeru katanya, kerajaan digesa memberikan lebih ba­nyak lesen menjual benih padi kepada pihak lain seperti pertubuhan peladang, koperasi, syarikat bertaraf industri kecil dan sederhana (SME) serta golo­ngan petani yang melaksana­kan amalan tradisi menyimpan serta berkongsi sejak sekian lama.

“Benih padi dihasilkan petani ini biasanya lebih berkualiti daripada dihasilkan pengilang. Mereka tak gunakan makmal sebaliknya golongan petani ini akan menilai padi yang elok untuk disimpan dan dikongsi bersama rakan-rakan.

“Maka beri lesen kepada mereka untuk menjual benih tersebut dan dalam masa sama subsidi yang diberi kepada pengilang selama ini, diberikan secara terus kepada petani dalam bentuk kupon.

“Apabila lebih ramai diberikan kebenaran menjual dan petani diberi kebebasan untuk memilih, maka akan timbul persaingan sekali gus ‘mengajar’ pengeluar untuk meningkatkan mutu benih,” katanya.

Beliau berkata, terdapat satu lagi isu berkaitan benih padi yang se­ring membelenggu pesawah iaitu timbangan berat tidak sama jumlahnya seperti dipaparkan pada kampit benih.

“Berat di kampit 20 kilogram (kg) tetapi apabila ditimbang, kampit benih itu biasanya ha­nya seberat 18.8kg atau 19.2kg. Apabila isu ini dibangkitkan, pengilang akan jawab kononnya mereka memang letak benih padi seberat 20kg tetapi kadar beratnya susut akibat benih kian kering hari ke hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya