Perundangan, struktur cukai berhubung perdagangan karbon giat dibincang – Fadillah Yusof  - Utusan Malaysia

Perundangan, struktur cukai berhubung perdagangan karbon giat dibincang – Fadillah Yusof 

FADILLAH Yusof (kiri) memotong daging lembu di Majlis Ibadah Korban Wanita Cawangan N6 Tupong di Surau Darul Fadzillah, Gita Laut, Kuching.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan Persekutuan kini giat berbincang bagi mewujudkan perundangan berhubung perdagangan karbon.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah melibatkan struktur cukai yang boleh diguna pakai dalam industri dagangan karbon.

“Di peringkat Persekutuan juga, kita sedang bincangkan untuk mewujudkan perundangan dan struktur cukai berhubung kait dengan perdagangan karbon ini.

“Perbincangan di antara dua kementerian (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi) sudah bermula, malah di peringkat Kabinet sudah bawa untuk berbincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mengklasifikasikan karbon sebagai komoditi dan perdagangan karbon di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Menurut beliau, pelbagai usaha membawa perubahan dalam industri berkenaan telahpun dijalankan, malah perdagangan karbon sudah dimasukkan dalam Bursa Malaysia di bawah Bursa Carbon Exchange (BCX).

“Perdagangan karbon ini merangkumi penyimpanan dan perdagangan di mana di peringkat kebangsaan perdagangan karbon sudah dimasukkan dalam Bursa Carbon Exchange (BCX).

“Cuma setakat ini dari segi undang-undang atau bidang kuasa, ia terletak di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” tambahnya.

Bagaimanapun Fadillah tidak menafikan usaha itu akan ambil sedikit masa disebabkan perubahan struktur perundangan dan juga dasar yang perlu digubal.

Justeru di peringkat kementeriannya kini giat melakukan perbincangan bagi membezakan antara pemuliharaan karbon dan perdagangan karbon.

“Kita sekarang ini sedang berbincang sama ada kita dapat pisahkan pertama sekali carbon conservation (pemuliharaan karbon) dengan perdagangan karbon diberi dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi sesuai dengan apa yang ditakrifkan, karbon adalah dikirakan sekarang ini sebagai komoditi.

“Jadi ini sedang diperincikan kalau dapat dimuktamadkan, maka insya-Allah kita akan menggunakan cadangan oleh Premier (Sarawak),” jelas Fadillah.

Baru-baru ini, Premier Sarawak mencadangkan agar karbon diletakkan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Kata Abang Johari, cadangan karbon itu adalah satu komoditi yang boleh diniaga seperti apa yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sarawak mempunyai tatacara perniagaan karbon berlandaskan protokol antarabangsa, iaitu Verra yang merupakan agensi diiktiraf PBB.

“Justeru, undang-undang berkaitan urusan jual beli karbon perlu digubal di peringkat Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya