Pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang tahun lalu tertinggi dalam negara - Utusan Malaysia

Pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang tahun lalu tertinggi dalam negara

CHOW Kon Yeow (tengah) bersama sebahagian ADUN Pulau Pinang pada sidang akhbar sempena pembubaran DUN di George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pulau Pinang muncul sebagai negeri dengan pertumbuhan ekonomi paling tinggi iaitu sebanyak 13. 1 peratus tahun lalu berbanding 6.9 peratus tahun sebelumnya, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan hari ini.

Berkongsi kejayaan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pertumbuhan itu membabitkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM112.1 bilion pada harga malar tahun 2021 iaitu RM99 bilion.

Menurut beliau, selain Pulau Pinang, laporan itu turut menyebut tiga lagi negeri dengan pertumbuhan ekonomi melebihi pertumbuhan nasional adalah Selangor (11.9 peratus); Pahang (10.8 peratus) dan Kuala Lumpur (9.2 peratus).

Jelasnya, kejayaan itu membuktikan seluruh jentera Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya membawa negeri itu untuk kekal mashyur dan gemilang di mata dunia dan akan mengulangi kembali kejayaan serupa pada masa depan.

“Siapa kata kita tidak melakar sebarang pencapaian? Siapa kritik yang kita ini perlahan atau `slow’?

“Jika benar semua kritikan dan dakwaan tersebut, maka tidaklah Pulau Pinang mampu memegang gelaran sebagai antara jaguh pelaburan negara dengan jumlah pelaburan RM200 bilion dalam tempoh 15 tahun sejak 2008.

“Daripada jumlah itu, bagi Pulau Pinang, jumlah pelaburan diluluskan bagi tahun 2019 hingga 2022 merupakan yang tertinggi iaitu berjumlah RM120.9 bilion,” katanya ketika berucap sempena pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu awal hari ini, Kon Yeow mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi mendapatkan proklamasi pembubaran DUN Pulau Pinang bermula esok seterusnya membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada beberapa perkara sekiranya diberi mandat dan peluang sekali lagi oleh pengundi untuk mentadbir Pulau Pinang pada PRN akan datang.

Antaranya, jelas beliau, penjanaan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik; reka bentuk `intergrated circuit’; teknologi perubatan;`digital district’ dan ekonomi baharu.

Selain itu, ujarnya, turut diberi perhatian adalah pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang mana projek keutamaan adalah projek transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas serta merealisasikan projek tambak laut perairan selatan (PSI) bagi membentuk Pulau Silikon.

“Keutamaan lain adalah menambah baik aliran trafik serta penyelesaian mobiliti pengangkutan awam dan menuntut Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan lebuh raya bertingkat antara Juru-Sungai Dua.

“Aspek lain adalah melaksanakan Pelan Kontigensi Air 2030 bagi memastikan krisis air tidak berulang serta memperkasakan rakyat dan memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, belia, wanita dan warga emas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya