PETALING JAYA: Negara-negara Asia disaran meningkatkan lagi perdagangan dua hala dan pelaburan mata wang tempatan dalam pasaran rantau itu.
Langkah tersebut boleh direalisasi dengan mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang asing.
Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anifah Aman berkata, mekanisme itu bukan sahaja mampu mengukuhkan ekonomi serantau, malah meningkat kedudukan serta pengaruh Asia di peringkat global.
“Dengan menggunakan mata wang sendiri, kita boleh memperkasa ekonomi yang lebih stabil, menggalakkan urus niaga rentas sempadan dan perdagangan intra-Asia,” katanya semasa berucap dalam Persidangan Kuala Lumpur, 2023, bertemakan Membina Pasaran Bersama Asia Demi Kemakmuran Bersama.
Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri Sabah itu berkata, negara Asia juga perlu memupuk ekosistem menggalakkan inovasi, keusahawanan dan pelaburan demi mewujudkan peluang pekerjaan yang mampan.
“Kita mesti melabur dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk melengkapkan belia dengan alat yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam era digital,” katanya.
Katanya, negara Asia harus terlibat secara aktif dalam forum-forum antarabangsa, memperjuang perwakilan yang adil dan penyertaan negara membangun dan bermakna.
“Dengan menguatkan suara kolektif, kita boleh membentuk dasar global yang menggalakkan keadilan, kesaksamaan dan nilai bersama,” katanya.
Katanya lagi, negara Asia mesti mengamalkan pendekatan komprehensif dan inklusif.
Jelasnya, dengan menggalakkan amalan pembangunan mampan, sumber tenaga boleh diperbaharui dan corak penggunaan yang bertanggungjawab, negara boleh mengurangkan kesan perubahan iklim.
“Kita mesti mengutamakan pembinaan kapasiti dan pemindahan teknologi untuk memperkasa negara membangun untuk menangani cabaran alam sekitar dengan berkesan.
“Persidangan KL 2023 ini menandakan detik penting dalam perjalanan ke arah membina Pasaran Bersama Kemakmuran Bersama Asia. Marilah kita merebut peluang ini untuk menjalin perkongsian baharu, mengeratkan hubungan sedia ada dan membangunkan strategi yang memperkasa negara dan rakyat,” katanya. – UTUSAN